KOTA SAMARAHAN: Bahagian Samarahan kini terus berkembang pesat sebagai hab pendidikan dan pengeluaran makanan utama hasil perancangan strategik serta pembangunan seimbang sejak ditubuhkan pada 24 Julai 1986.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, sepanjang tempoh 40 tahun pentadbiran, Samarahan melakar kemajuan pesat bukan sahaja dari segi infrastruktur, malah merangkumi pembangunan ekonomi dan modal insan.

Menurutnya, pencapaian akademik anak-anak tempatan kini berada pada tahap membanggakan dengan peningkatan ketara kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT), dengan jumlah dianggarkan melebihi 500 orang bagi kawasan Parlimen Kota Samarahan dan melepasi 1,000 orang bagi keseluruhan Bahagian Samarahan.
“Daripada sebuah daerah kecil, Samarahan kini telah berkembang kepada lima daerah iaitu Samarahan, Asajaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong.

“Penstrukturan pentadbiran yang lebih teratur dan berfokus ini membolehkan pembangunan dijalankan secara pesat, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Samarahan Berselawat sempena Sambutan 40 Tahun Bahagian Samarahan yang dihadiri lebih 2,000 orang di Halaman Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), di sini, malam tadi.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Mengulas mengenai penganjuran majlis tersebut, Rubiah menjelaskan ia diadakan selari dengan Program Gerakan Massa (GEMA) anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang turun padang untuk mendekati masyarakat tempatan.

Jelasnya, pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah dilaksanakan sejak 19 Julai lalu seperti Ziarah Kasih, Sentuhan Kasih, Belia Berbakti, program SERI, jualan usahawan, pameran agensi serta aktiviti keramaian sebagai platform perpaduan.
“Program Samarahan Berselawat yang julung kali diadakan ini menjadi kemuncak kesyukuran warga Samarahan atas keamanan dan kemakmuran yang dinikmati.

“Malam ini kita turut menampilkan selebriti dan tokoh keagamaan seperti Imam Muda Asyraf serta kumpulan The Rayhan bersama-sama penuntut pusat tahfiz tempatan bagi mengimarahkan majlis,” ujarnya.
Beliau menambah, kemajuan yang dinikmati hari ini adalah hasil kesinambungan perancangan Kerajaan Negeri Sarawak dalam memastikan pembangunan saksama di kawasan luar bandar dan pinggir kota, sekali gus mengubah Samarahan daripada kawasan terpinggir kepada pusat tumpuan utama.




