ARTIKEL

Sebahagian daripada 7,000 pengunjung yang dianggarkan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2024 di BCCK hari ini. - Foto: Ramidi Subari

Sambutan Gawai wadah terbaik eratkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sambutan Hari Gawai bukan sahaja diraikan sebagai hari kesyukuran bagi masyarakat Dayak, malah ia menjadi wadah terbaik untuk mengeratkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di Sarawak.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, meskipun Hari Gawai adalah perayaan masyarakat Dayak, kaum lain turut bersama meraikannya dalam suasana yang meriah.

“Dan kalau kita lihat, semua kaum ada bersama-sama merayakan Gawai Dayak hari ini.

“Ini adalah satu contoh perpaduan yang diterapkan dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Syukur, kita dapat meraikan Hari Gawai dalam keadaan yang baik dan tenang dengan suasana harmoni terus menjadi amalan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2024 di Pusat Konvensyen Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Beliau bersama isteri, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang, dan pemimpin lain menghadiri rumah terbuka tersebut yang dianjurkan para pemimpin masyarakat Dayak.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berserta isteri, Toh Puan Sri Fauziah Mohd Sanusi.

Penganjuran majlis itu diketuai oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, serta Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta barisan pemimpin Kabinet Negeri.

Sementara itu, Uggah berkata, penganjuran majlis itu bukan hanya diraikan sebagai hari kesyukuran bagi masyarakat Dayak, namun ia juga sebagai usaha mempromosikan budaya masyarakat Dayak kepada dunia luar.

“Menerusi majlis ini, banyak budaya yang kita dapat promosikan disebabkan ia sangat penting dalam usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Dan hari ini, kita dapat melihat pengunjung yang hadir sangat bersatu-padu dengan mengenakan busana tradisi masing-masing dan pada akhirnya, kita dapat mencapai objektif kita iaitu memupuk semangat kebersamaan.

“Hari Gawai adalah masa untuk kita mengeratkan silaturahim antara masyarakat Dayak bersama agama-agama lain.

“Ini kerana Sarawak dikenali dengan kepelbagaian budaya yang sangat harmoni meskipun mempunyai rakyat berbilang kaum,” katanya.

Di samping itu, beliau meminta agar masyarakat Dayak memainkan peranan masing-masing bagi membantu Kerajaan Sarawak membangunkan negeri ini.

Kira-kira 7,000 pengunjung memeriahkan majlis rumah terbuka anjuran para pemimpin Dayak tersebut dengan mengenakan pakaian dan busana tradisi masing-masing.

Malah meskipun hujan lebat sejak pagi tadi, ia tidak mematahkan semangat orang ramai yang mula membanjiri lokasi bermula 9 pagi walaupun program dijadual bermula jam 10 pagi hingga jam 4 petang.

Tun Wan Junaidi (lima kanan) bersama-sama Abang Johari (empat kiri) dan Uggah (tiga kanan) menyempurnakan perasmian majlis. – Foto: Ramidi Subari
Tun Wan Junaidi serta isteri beramah mesra dengan tiga wanita Bidayuh yang menjadi pewaris legasi terakhir pemakai gelang tembaga di lengan dan betis, sambil disaksikan oleh Roland Sagah (kanan). – Foto: Ramidi Subari
Abang Johari serta isteri beramah mesra dengan tiga wanita Bidayuh yang menjadi pewaris legasi terakhir pemakai gelang tembaga, sambil disaksikan oleh Roland Sagah. – Foto: Ramidi Subari

BERITA LAIN

BERITA TERBARU