KUCHING: Setiap langkah yang bergema di Dataran Perayaan, Petra Jaya pagi tadi seolah-olah mengimbau kembali perjalanan panjang warga pasukan keselamatan dalam mempertahankan negara.
Di sebalik istiadat yang berlangsung penuh tertib, terpahat kisah keberanian dan pengorbanan yang menjadi asas kepada keamanan yang dinikmati hingga hari ini.


Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sarawak 2026 diadakan bagi menghargai jasa anggota tentera, polis, veteran dan pesara yang pernah mencurahkan bakti kepada negara.
Bertemakan “Mengenang Jasa, Mengukuh Pertahanan”, sambutan anjuran Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak itu berlangsung dari 7 hingga 9 pagi, menghimpunkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, veteran serta pesara pasukan keselamatan dalam satu istiadat penuh tertib dan bermakna.
Istiadat berkenaan diserikan dengan keberangkatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama-sama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut mengiringi majlis ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Premier, selain Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dan Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusof.
Sejurus lagu Negaraku berkumandang, istiadat diteruskan dengan Hormat Diraja dan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Suasana penuh tertib itu mencerminkan disiplin serta kesepaduan yang menjadi nadi kepada pasukan keselamatan negara.
Seramai 460 anggota menyertai perbarisan membabitkan empat detasmen yang diketuai Pegawai Memerintah Rejimen Ke-10 Rejimen Sempadan, Leftenan Kolonel Ferry Shahrul Rizal Roslan.
Batalion ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja pula diberi penghormatan melaksanakan Kawalan Kehormatan Utama dengan iringan Pancaragam PDRM Kontinjen Sarawak.
Detik paling menyentuh perasaan hadir apabila Tiupan Last Post bergema memecah kesunyian dataran. Alunan itu menjadi penghormatan terakhir kepada para pahlawan, mengajak setiap yang hadir menghayati harga sebenar sebuah keamanan.
Penghayatan diteruskan menerusi persembahan koir, tayangan montaj perwira dan deklamasi sajak yang mengangkat semangat patriotisme serta mengimbau kembali jasa anggota keselamatan yang sanggup berkorban demi negara.
Majlis turut memperkenalkan penerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) dari Sarawak sebagai pengiktirafan keberanian luar biasa yang dipamerkan ketika melaksanakan amanah mempertahankan keselamatan negara.
Selepas suasana hening menyelubungi Dataran Perayaan ketika Tiupan Last Post berkumandang, Tiupan Rouse pula menandakan kebangkitan semangat untuk meneruskan amanah yang telah diwariskan.
Lebih sekadar penutup istiadat, tiupan itu menjadi simbol perjuangan mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara akan terus dipikul oleh generasi yang meneruskan legasi para pahlawan.
Selesai istiadat, orang ramai mengambil peluang mengunjungi pameran aset ketenteraan yang dipamerkan di sekitar lokasi.
Pameran itu bukan sahaja memperlihatkan keupayaan pasukan keselamatan negara, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali lebih dekat peranan yang dimainkan dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

