KUCHING: Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) peringkat Sarawak dijangka berlangsung sekitar bulan Jun atau Julai tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

Menurut beliau, sambutan tersebut akan dianjurkan serentak dengan Persidangan Media Sarawak (SMEC) yang turut melibatkan jemputan penceramah dari luar bagi berkongsi ilmu dan pengalaman bersama pengamal media tempatan.
“Antara fokus utama dalam program SMEC ialah topik berkaitan pengaruh kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai aspek, termasuk dunia kewartawanan,” katanya ketika ditemui pada Program UKAS Berambeh Raya 2025 di English Tea House, di sini, hari ini.
Tambah Abdullah, sambutan HAWANA peringkat negeri akan dikendalikan oleh UKAS dengan kerjasama persatuan wartawan serta agensi media tempatan.
Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat cadangan untuk memperkasa peranan stesen radio tempatan, bukan sahaja dari segi hiburan dan penyampaian maklumat, malah juga sebagai medium pendidikan dan kesedaran masyarakat.
“Meskipun Sarawak bukan tuan rumah bagi HAWANA 2025, beberapa elemen penting akan tetap diteruskan termasuk penyampaian Anugerah Khas Premier Sarawak kepada wartawan cemerlang dan penghargaan khas kepada wartawan veteran,” katanya lagi.
Abdullah berkata, penganjuran aktiviti sukan turut dirancang bagi memeriahkan sambutan dengan melibatkan tiga zon utama iaitu Kuching, Miri dan Sibu, dijangka berlangsung dua minggu sebelum acara kemuncak.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk mengukuhkan kerjasama antara UKAS dan institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus komunikasi massa.
“Kita ingin merangka program khas untuk bakal wartawan dan individu yang akan menceburi bidang media, agar mereka turut terlibat dalam HAWANA atau SMEC.
“Kini, bidang komunikasi massa semakin berkembang dengan pendedahan kepada teknologi serta penggunaan aplikasi digital. Jadi penting untuk kita bawa golongan ini bersama dalam arus pembangunan media,” ujarnya.
Program UKAS Berambeh Raya 2025 hari ini turut dihadiri warga media dari pelbagai agensi, sekali gus menjadi platform terbaik memperkukuh hubungan strategik antara media dan UKAS.



