KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana merompak seorang wanita yang sedang makan di sebuah kedai dengan mengambil wang tunai berjumlah RM60.
Azeezy, 32, buruh dari Kampung Tabuan, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jason Juga.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau terhadap seorang wanita berusia 33 tahun dengan mengambil wang bernilai RM60.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai makan terbuka di Jalan Kenyalang sekitar jam 11.30 malam pada 22 November lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, ketika pengadu sedang makan di kaunter kedai, dia tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali.
Lelaki tersebut yang memakai topi keledar mengacukan sebilah pisau sambil mengarahkan pengadu menyerahkan wang yang ada.
Pengadu yang ketakutan menyerahkan wang tunai RM60 dan telefon bimbit miliknya.
Selepas mendapatkan wang tersebut, tertuduh melarikan diri.
Laporan polis dibuat pengadu yang kemudian membawa kepada penangkapan tertuduh pada 7 Disember lalu.
Hasil siasatan mendapati tertuduh melakukan rompakan bersenjata menggunakan sebilah pisau terhadap pengadu.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



