ARTIKEL

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak menyampaikan ucapan sempena Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-219 Peringkat Kontinjen Sarawak di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hari ini.

Sang Saka Biru Berikrar Integriti Dan Undang-Undang Jadi Perisai Utama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

IQHWAN HAMDAN (PELATIH UiTM)

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen untuk terus berpegang teguh kepada prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang tanpa tunduk kepada tekanan persepsi awam dalam mendepani landskap keselamatan yang semakin mencabar.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menerusi teks ucapan beliau berkata, sebagai pasukan keselamatan yang matang, PDRM tidak akan sesekali bertindak berdasarkan tekanan atau persepsi semata-mata.

Beliau menjelaskan bahawa setiap keputusan yang diambil adalah berteraskan prinsip integriti dan undang-undang yang berkuat kuasa serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sehubungan itu, PDRM menolak sebarang kompromi yang boleh mencalarkan imej pasukan serta menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi ini yang sentiasa menjunjung kedaulatan raja dan negara serta mendukung aspirasi Malaysia Madani.

“Berpaksikan fokus utama kepimpinan serta agenda transformasi yang digariskan, seluruh warga Sang Saka Biru akan terus memperbaharui tekad bagi memperkukuh keupayaan PDRM sebagai pasukan yang profesional, cekap dan disegani,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak pada Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-219 Peringkat Kontinjen Sarawak di Mes Pegawai IPK Sarawak di sini, hari ini.

Sementara itu, Saifullizan berkata PDRM akan terus memperkukuh hubungan dengan semua pihak berkepentingan bagi mengekalkan kepercayaan terhadap kewibawaan pasukan tersebut.

Beliau berkata, kemampuan PDRM sentiasa ditagih untuk memberikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti serta efisien kepada rakyat.

“Kredibiliti dan akauntabiliti pastinya menjadi titik fokus masyarakat untuk menilai setiap tindakan serta keputusan PDRM dalam menangani sesuatu isu mahupun kes,” katanya.

Beliau menambah bahawa, sambutan tersebut merupakan manifestasi penghargaan kepada institusi yang telah sekian lama berdiri teguh sebagai tonggak keselamatan dan kesejahteraan negara.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut merakamkan ucapan syabas kepada semua penerima surat penghargaan Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Beliau turut mengingatkan warga PDRM Kontinjen Sarawak supaya terus komited dalam melaksanakan tugasan serta sentiasa menjaga nama baik pasukan pada setiap masa.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU