BINTULU: Santapan Warisan Bonda Sarawak KubSayang berjaya menambat hati juri apabila dinobatkan sebagai johan pertandingan memasak masakan kampung atau tradisional sempena Program SarawakKu Sayang Bahagian Bintulu 2026.
Kemenangan itu sekali gus membuktikan keistimewaan resipi warisan turun-temurun yang terus dipelihara dan diwarisi dari generasi ke generasi sebagai identiti budaya masyarakat Sarawak.
Tempat kedua dimenangi Zenyam Nyareek Penyak, manakala Paruq Melau meraih tempat ketiga menerusi kreativiti serta keaslian sajian yang dipersembahkan kepada panel juri.
Sementara itu, Umai Sensation by Chik Rose menduduki tempat keempat dan Sarawak Seri Balas Food berada di kedudukan kelima.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming yang turut meluangkan masa meninjau pelbagai hidangan tradisional yang dipertandingkan sepanjang program berlangsung.

Pertandingan berkenaan bukan sekadar medan mempamerkan kemahiran memasak, malah menjadi platform memperkenalkan keunikan makanan tradisional pelbagai kaum di Sarawak kepada masyarakat luar.
Lebih bermakna, program itu turut menyatukan komuniti menerusi makanan sekali gus mengukuhkan semangat perpaduan serta penghargaan terhadap warisan budaya negeri ini.



