KANOWIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang bayi lelaki berusia 18 bulan yang dikhuatiri terjatuh dalam sungai Kanowit di Nanga Germai di sini, Ahad lalu masih menemui jalan buntu walaupun sudah memasuki hari kelima hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit Arrahman Chik berkata, operasi SAR hari ini turut disertai seramai 26 orang terdiri daripada bomba, polis, rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk rumah panjang yang menggunakan empat buat bot.

Jelas beliau, pencarian telah dijalankan di sepanjang hilir sungai dalam radius 15 kilometer dari lokasi kejadian menggunakan kaedah ‘surface searching’.
“Setakat jam 5 petang ini, mangsa dari Rumah Boniface Giri, Nanga Geremai di sini yang dikhuatiri hilang atau lemas masih gagal ditemui.

“Memandangkan keadaan cuaca semakin gelap dan tiada petunjuk baharu, operasi SAR hari kelima ditangguhkan pada jam 5.05 petang dan akan disambung keesokan hari (Jumaat),” ujar beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Arrahman memberitahu sepanjang operasi itu, pasukan SAR turut beberapa masalah seperti litupan gird kurang memuaskan, rangkaian telefon kurang memuaskan dan di sepanjang sungai mengandungi kayu serta sampah sarap yang hanyut.

Mangsa dikenali sebagai Batrick Giling Bunau disedari hilang pada Ahad jam 5.15 petang.


