SKRANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga emas hilang diteruskan pagi ini, dengan fokus kawasan pakaian mangsa ditemukan petang semalam.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga (Sri Aman) Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, pada Rabu, Rumai Jantin, 74, dilaporkan hilang ketika mandi di Nanga Buai, Padeh.

“Dalam laporan anaknya, ibunya keluar seorang diri berjalan menuju ke arah anak Sungai Tebelian, untuk mandi. Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu keluarga.
“Risau akan keadaan ibu, laporan dibuat dan operasi SAR digerakkan sejak semalam dan disambung pagi ini,” katanya dihubungi, hari ini.
Jelasnya, tumpuan awal SAR dalam radius satu kilometer dari rumah panjang.
“Kita menjumpai pakaian dalam mangsa 500 meter dari Pusat Kawalan Bomba (PKB),” ujarnya.
Untuk rekod, mangsa menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Ketika keluar rumah, mangsa menggunakan baju berwarna hitam dan kain batik biru gelap.






