ARTIKEL

SARA… Senator Larry Asap mencadangkan projek perintis penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di pasar tamu selama sekurang-kurangnya enam bulan.

SARA pasar tamu dicadang projek perintis enam bulan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan dicadang melaksanakan projek perintis penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di pasar tamu selama sekurang-kurangnya enam bulan sebelum diperluaskan secara menyeluruh.

Senator Larry Asap berkata, tempoh berkenaan penting bagi menguji mekanisme pelaksanaan, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan serta menilai kesannya terhadap pendapatan penjaja dan peniaga kecil.

Menurutnya, cadangan itu pernah dibangkitkan kepada Menteri Kewangan pada 27 Julai lalu berhubung kesediaan kerajaan memperluaskan penggunaan SARA di pasar tamu bagi memberi manfaat kepada golongan berkenaan.

Larry berkata, projek perintis itu perlu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah bagi memastikan mekanisme pendaftaran, pelesenan serta transaksi dapat dilaksanakan dengan jelas.

PBT boleh mengenal pasti dan mendaftarkan penjaja serta peniaga kecil yang layak, manakala mereka yang berdaftar boleh mendapatkan lesen perniagaan melalui Pejabat Daerah mengikut keperluan ditetapkan.

Beliau turut mencadangkan penjaja yang menyertai projek itu membuka akaun semasa serta diberikan kod QR SARA khusus bagi memudahkan urusan transaksi, rekod pendapatan dan pemantauan.

Projek berkenaan juga dicadang melibatkan pasar tamu di kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar bagi membolehkan keberkesanannya dinilai dalam konteks berbeza, termasuk melalui pengumpulan dan analisis data pendapatan penjaja sepanjang tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

Larry berkata, penilaian tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah transaksi SARA, sebaliknya turut mengambil kira perubahan pendapatan isi rumah penerima bagi menentukan sama ada skim itu membantu menstabilkan pendapatan serta mengurangkan kemiskinan.

Beliau berkata, jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA bagi 2026 mencecah RM15 bilion, justeru manfaatnya perlu turut dirasai ekonomi akar umbi dengan membuka peluang pendapatan kepada peniaga kecil.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU