SARATOK: Pekan Saratok memerlukan sebuah lagi fasiliti kesihatan baharu bagi menampung Hospital Saratok yang semakin sesak.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka, Mohamad Duri menegaskan Kerajaan Persekutuan wajar mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan Klinik Kesihatan Jenis Tiga (KK3) di sini.
Menurutnya, mahu tidak mahu sudah tiba masanya pekan Saratok mempunyai klinik kesihatan baharu.
“Purata harian pesakit yang mendapatkan perkhidmatan di Unit Pesakit Luar Hospital Saratok ialah 100 hingga 150 orang.
“Manakala perkhidmatan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) mempunyai purata kedatangan pesakit 50 hingga 100 orang sehari.
“Melihat kepada data berkenaan, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) wajar mempertimbangkan cadangan mewujudkan KK3 di pekan Saratok, lebih-lebih lagi penduduk tiada alternatif lain selain Hospital Saratok,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditanya seusai Sesi Libat Urus Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Betong di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok, semalam.

Mohamad menambah Daerah Saratok yang berkeluasan 1,686.88 kilometer persegi dengan populasi penduduk 33,694 orang pada masa ini bergantung kepada perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh Hospital Saratok.
“Ada pun klinik kesihatan lain seperti di Roban, jaraknya hampir 20 kilometer mungkin menjadi kekangan.
“Tetapi jika KK3 di pekan Saratok dapat disediakan, ia dapat menambah baik perkhidmatan kesihatan setempat dengan penyediaan perkhidmatan yang lebih komprehensif dan holistik.
“Buat masa ini, usaha mewujudkan KK3 di pekan Saratok merupakan satu keutamaan yang sangat diharapkan warga Saratok,” ujarnya.
Pada sesi yang turut disertai ADUN Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir dan ADUN Krian, Friday Belik, fokus lain ialah pembentangan projek pembangunan fasiliti kesihatan semasa.
Turut dibincangkan Pelan Hala Tuju Fasiliti Kesihatan Daerah Saratok dan Kabong.
Antara lain yang disentuh ialah mengenai tapak baharu Klinik Kesihatan Roban, cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Mid Krian-Bajau dan keperluan tambahan kenderaan ambulans di Kabong, Nanga Budu, Nanga Atoi dan Nyabor.
Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid dan Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr. Mohamad Norhaizam Ahmad @ Narawi turut hadir sama.



