KUCHING: Penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam Sarawak AI Blueprint perlu berasaskan data yang berintegriti, boleh dipercayai dan terjamin keselamatan bagi menghasilkan keputusan yang tepat serta berkualiti.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, pelan tindakan itu harus dibangunkan secara telus dan boleh diakses oleh semua pihak yang terlibat.

“Sekiranya maklumat yang dimasukkan tidak berkualiti, sistem akan mempelajari perkara yang tidak tepat dan seterusnya menghasilkan keputusan yang salah.
“Penerapan AI perlu berpusatkan manusia kerana faktor manusia penting dalam memastikan sistem dibekalkan data berkualiti bagi menghasilkan keputusan yang diharapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Permulaan Pembangunan Sarawak AI Blueprint di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Menurutnya, data terbaik dan paling boleh dipercayai akan menghasilkan keputusan yang baik, namun kebolehpercayaan serta keselamatan data tetap perlu diberi keutamaan.
Beliau menambah, data mempunyai jangka hayat dan boleh menjadi lapuk dalam tempoh singkat kerana sentiasa berkembang serta berubah mengikut masa.
“Sekiranya data yang dianggap bernilai terus disimpan sendiri, kita akhirnya akan ketinggalan kerana data sentiasa berkembang dan berubah.
“Oleh itu, tiada salahnya berkongsi data dan input yang dianggap bernilai demi manfaat awam yang lebih besar.
“Rangka kerja pelan tindakan itu mesti telus kerana ketelusan membolehkan kesaksamaan,” ujarnya.
Justeru, ketelusan rangka kerja akan membolehkan penyertaan yang saksama daripada semua pihak.
Dalam hal berkaitan, beliau mengimbas kembali bengkel serupa yang dianjurkan PwC pada 2020 ketika pandemik COVID-19 bagi merangka Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
“Bengkel itu membuahkan hasil yang baik dan strategi tersebut kemudiannya dilancarkan pada 2021.
“Kini, PwC sekali lagi memudah cara Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) membangunkan Sarawak AI Blueprint sebagai panduan untuk memajukan agenda ekonomi AI negeri,”tambahnya.





