ARTIKEL

SIDANG MEDIA... Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan Roche Malaysia, di Hospital Umum Sarawak, Kuching, hari ini. GAMBAR GHAZALI BUJANG

Sarawak alami kekurangan 54 peratus doktor

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Oleh MARCELLA NATHASIA

KUCHING: Sarawak mengalami kekurangan 45 peratus katil hospital dan 54 peratus doktor berbanding standard Malaysia.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, berkata Sarawak kini bersedia menghadapi cabaran besar dalam sektor kesihatan berikutan kekurangan tenaga kerja perubatan dan infrastruktur hospital yang ketara.

“Kami tidak meminta lebih daripada negeri lain, tetapi sekurang-kurangnya kami mahu berada pada tahap yang sama dengan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan Roche Malaysia di Dewan Persona, Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini.

MANDAT… Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di antara SEB dengan Roche Malaysia, di Hospital Umum Sarawak, Kuching, hari ini. GAMBAR GHAZALI BUJANG

Menurut Dr. Sim, dalam usaha menangani isu ini, kerajaan Sarawak telah menyuarakan keperluan untuk mendapatkan lebih banyak autonomi dalam bidang kesihatan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Antara langkah yang sedang dipertimbangkan termasuk penubuhan Majlis Perubatan Sarawak bagi membolehkan Sarawak mendaftarkan doktornya sendiri dan menguruskan keperluan tenaga kerja perubatan secara lebih efektif.

“Jika Kerajaan Persekutuan memberi kuasa autonomi kepada Sarawak untuk menguruskan dana kesihatan dan tenaga kerja, kami pasti dapat melaksanakan pengurusan yang lebih baik,” jelasnya.

Sebagai langkah segera, Kerajaan Sarawak juga sedang menggiatkan usaha membawa pulang lebih 800 kakitangan perubatan Sarawak yang kini berkhidmat di luar negeri untuk mengisi lebih 1,000 kekosongan di hospital dan klinik tempatan.

“Saya telah menyampaikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini mengenai perbincangan berkaitan 800 jururawat dan paramedik serta pelbagai aspek lain seperti fasiliti, tenaga kerja, peruntukan dana dan piawaian yang dibincangkan di bawah diskusi MA63.

“Kami berbincang tentang peranan statutori serta kawal selia yang dimainkan oleh pihak berkuasa kesihatan, dan itulah sebabnya pelbagai kemajuan sedang giat dilakukan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, terdapat cadangan untuk menambah pusat rawatan jantung di Sarawak.

“Kami ingin memastikan Sarawak mempunyai satu pusat rawatan jantung bagi setiap dua jam perjalanan, seperti standard yang ditetapkan di Malaysia.

“Ini bukan kerana bilangan pesakit jantung yang ramai, tetapi bagi memastikan mereka yang memerlukan rawatan tidak perlu menempuh perjalanan berjam-jam, contohnya dari Bintulu ke Kuching yang memakan masa 7 jam,” tambahnya.

Kerajaan Sarawak terus memperjuangkan hak kesihatan rakyat agar setanding dengan negeri lain dan berharap perbincangan mengenai MA63 dapat membuka jalan kepada pengurusan kesihatan yang lebih berkesan di negeri ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU