KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti akan merujuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengesan sama ada terdapat pelajar di Sarawak yang terlibat dalam penggunaan rokok elektronik (vape) yang mengandungi dadah dan bahan terlarang.
Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, usaha tersebut adalah bagi membendung gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak-anak sejak di peringkat awal.
Terdahulu, katanya, KPM mendedahkan kira-kira 20,000 pelajar sekolah di seluruh negara didapati terlibat dalam penggunaan vape yang mengandungi dadah dan bahan terlarang.
“Isu vape ini merupakan sesuatu yang baharu, jadi kita akan mendapatkan data berkaitan Sarawak daripada 20,000 kes yang telah dikenal pasti itu.
“Daripada data tersebut, barulah kita tahu berapa ramai anak-anak di Sarawak yang terlibat.
“Jadi, daripada hasil data itu juga, kita dapat bertindak dari segi pencegahan menerusi program-program pencegahan dan juga intervensi. Sejurus kita memperoleh data, kita akan terus bertindak,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penutupan Seminar Pemerkasaan JKPD dan OSC MIDS Daerah 2025 di Hotel Imperial, hari ini.
Menurut Fatimah, gejala tersebut bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan memandangkan budaya penyalahgunaan dadah melalui rokok elektronik kini mudah mempengaruhi golongan muda.
Justeru, tegasnya, tindakan tegas harus segera diambil dengan kerjasama semua pihak, khususnya pihak sekolah dan masyarakat.
“Bagi pencegahan secara legislatif, mungkin akan ada perbincangan lanjut dalam jawatankuasa berkaitan, tetapi buat masa ini, yang utama adalah untuk mendapatkan data bagi melihat situasi kes di Sarawak.
“Selepas itu, kita akan berbincang bersama untuk mengenal pasti langkah jangka pendek dan juga jangka panjang,” katanya.
Mengulas lanjut, Fatimah percaya gejala tersebut berpotensi merosakkan masa depan anak bangsa kerana kandungan dalam vape dipercayai boleh menjejaskan perkembangan otak.
“Bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam vape itu dipercayai mampu merosakkan sistem otak, dan sudah pasti tiada jalan kembali sekiranya sudah terlibat.
“Begitulah masalahnya. Misalnya, kalau demam, kamu boleh diberi ubat dan sembuh, tetapi apabila melibatkan dadah, terutama dadah sintetik, ia boleh merosakkan secara kekal.
“Kita tidak mahu generasi akan datang menjadi seperti zombi,” tegasnya.
Terdahulu, majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia, Khairul Anwar.

