KUCHING: Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) 2026 yang julung kali dianjurkan di Sarawak akan berlangsung dari 21 hingga 23 Julai depan, sekali gus menarik pelibatan peserta antarabangsa.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha, berkata penganjuran acara seumpama itu dapat memainkan peranan sebagai platform penting untuk menguar-uarkan tempat atau premis makanan halal di negeri ini.
“Pada masa sama, kita akan memperkenalkan pelbagai produk halal Sarawak yang berpotensi untuk dieksport ke luar negara, selain menarik kehadiran pelawat antarabangsa ke Kuching bagi melihat sendiri perkembangan industri halal di sini.
“Ini merupakan julung kali kita menganjurkan BIHAS dan kita akan mempromosikannya secara meluas apa yang kita tawarkan, termasuk menjemput negara-negara luar untuk datang ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada Amity Events Sdn Bhd di Amity Venue di Kompleks UNIFOR, di sini, hari ini.
Mengulas penyertaan antarabangsa, beliau memaklumkan setakat ini pihaknya telah menerima penyertaan daripada beberapa negara termasuk Nigeria, Turki dan Qatar.
“Selain itu, kita juga menjemput negara dalam Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) untuk datang dan mengambil bahagian dalam pameran tersebut.
“Fokus kita memang kepada Borneo, tetapi pada masa yang sama kita juga hendak melihat penyertaan negara luar termasuk dari Qatar,” ujarnya.
Beliau memaklumkan pameran itu nanti bukan hanya melibatkan premis makanan tetapi juga produk antarabangsa dan banyak lagi.
“Selain pameran, kita juga akan mempunyai Dapur Sarawak yang akan diadakan di Tebingan Sungai Kuching (Waterfront Square), dan kita juga akan menganjurkan forum di Hotel Waterfront.
Insya-Allah, kita mengharapkan ramai pengunjung yang datang kelak,” jelasnya.
Semasa mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pengelola BIHAS 2026 pada 25 Februari lalu, Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, memaklumkan program itu perlu berfungsi sebagai platform strategik untuk merangsang pertumbuhan industri halal serta meningkatkan daya saing usahawan tempatan.
Katanya, BIHAS 2026 perlu menjadi platform yang bukan sahaja mempamerkan produk dan perkhidmatan halal, malah menjadi medan strategik untuk menarik pelaburan, memperluas rangkaian pasaran dan memperkukuh daya saing usahawan tempatan.

