ARTIKEL

Abdul Karim dan tetamu kehormat lain menunjukkan poster SNSIC 2026 selepas sidang media Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak. (TVS)

Sarawak anjur Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak bakal menganjurkan Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 bagi memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam pengurusan sukan.

Persidangan tiga hari itu dijadual berlangsung dari 28 hingga 30 September di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching, dengan menghimpunkan pelbagai pemegang taruh daripada sektor sukan, penguat kuasa, perundangan dan pengurusan awam.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, SNSIC 2026 dianjurkan melalui kerjasama Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNION), Jabatan Premier Sarawak, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) serta kementeriannya.

“Persidangan ini melibatkan integriti dalam sukan dan kita mahu memastikan mereka yang mengurus serta menganjurkan acara sukan melaksanakannya dalam suasana yang terbaik,” katanya.

“Ini termasuk memastikan aspek integriti diberi perhatian dalam pengurusan sukan,” katanya pada sidang media berhubung SNSIC 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Ujarnya, penganjuran acara sukan berskala besar lazimnya melibatkan perolehan bernilai tinggi, perbelanjaan kewangan yang besar serta penyelarasan pelbagai agensi.

Katanya, tanpa kawalan dan sistem integriti yang kukuh, ekosistem sukan berdepan pelbagai risiko termasuk rasuah, mengatur keputusan perlawanan, pertaruhan haram, penyalahgunaan bahan terlarang dan ketidakpatuhan tadbir urus.

“Memang kadang-kadang kita tidak boleh mengetepikan hakikat bahawa dalam sukan juga kita melihat perkara tidak menyenangkan berlaku seperti rasuah, doping dan mengatur keputusan perlawanan,” jelasnya.

“Sebab itu kita melihat penganjuran Persidangan Integriti Sukan ini penting supaya mereka yang menguruskan dan menganjurkan acara sukan dapat memastikan semuanya dilaksanakan dalam suasana terbaik,” jelasnya.

Abdul Karim berkata, SNSIC 2026 juga penting sebagai persediaan Sarawak menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027.

“Sarawak mahu memastikan penganjuran acara sukan bukan sahaja cemerlang dari segi pengurusan dan kemudahan, malah memenuhi standard tinggi dalam aspek integriti serta ketelusan,” katanya.

“Kita mahu menunjukkan kepada dunia bahawa selain menjadi tuan rumah yang baik dan memastikan atlet dapat bertanding dalam suasana sukan yang sebenar, kita juga mahu memastikan semuanya teratur,” jelasnya.

Beliau berkata, hari pertama SNSIC 2026 akan menampilkan persidangan peringkat tinggi yang dijangka menghimpunkan antara 400 hingga 500 peserta.

Katanya, program berkenaan akan menampilkan pembentangan utama daripada UNODC, Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) serta sesi panel membabitkan pakar daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Selain itu, katanya, persidangan berkenaan turut menampilkan pembentangan daripada Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) dan Persatuan Undang-Undang Sukan Malaysia.

Dua hari berikutnya pula akan memberi tumpuan kepada bengkel teknikal yang disertai kira-kira 100 peserta sasaran termasuk pegawai yang mengendalikan urusan perolehan, perundangan dan penguat kuasa serta pentadbir persatuan sukan dari seluruh Malaysia.

“Melalui bengkel praktikal dan berasaskan simulasi serta sesi bersama pakar, peserta akan memperoleh kemahiran untuk meneliti perolehan awam, mengesan aktiviti pertaruhan haram dan menguruskan kes mengatur perlawanan,” katanya.

“Ini akan meningkatkan keupayaan kita mengenal pasti risiko, mengambil tindakan sewajarnya dan memperkukuh integriti dalam ekosistem sukan negara,” katanya.

Abdul Karim berkata, SNSIC 2026 tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai sebuah persidangan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada perubahan budaya dalam aspek integriti.

“Budaya integriti perlu diterapkan dalam kehidupan seharian dan tidak hanya diberi perhatian ketika sesebuah organisasi atau negeri menjadi penganjur acara,” katanya.

“Pendekatan itu penting bagi memastikan kecemerlangan dalam sukan bukan hanya melahirkan atlet berprestasi tinggi, tetapi turut membentuk pentadbir, organisasi dan komuniti yang berintegriti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap kecemerlangan bukan sahaja dalam gelanggang atau padang, tetapi juga dalam kalangan mereka yang mengurus dan mentadbir persatuan sukan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU