KUCHING: Sarawak dan Pulau Pinang dikenal pasti sebagai lokasi penubuhan dua Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) bagi memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan berkualiti dan mampu milik.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada langkah Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027 untuk memperkukuh perlindungan sosial serta menyokong perkembangan ekonomi penjagaan negara.
“Kerajaan turut merancang pembangunan dua NICE di Sarawak dan Pulau Pinang, selain mengurangkan kadar cukai perkhidmatan bagi jagaan warga emas daripada lapan peratus kepada enam peratus mulai 1 Januari tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Santuni KASIH KPWKM 2026 di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.

Nancy berkata, Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” menyediakan hala tuju penting dalam memperkukuh kebajikan, perlindungan sosial dan pemerkasaan rakyat.
Katanya, hampir RM3.3 bilion diperuntukkan bagi membantu golongan memerlukan, termasuk RM1.3 bilion untuk bantuan warga emas dan sektor penjagaan yang dijangka memanfaatkan hampir 200,000 penerima.
Bagi golongan orang kurang upaya (OKU), RM1.5 bilion diperuntukkan untuk lebih 300,000 penerima, manakala Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik dinaikkan daripada RM500 kepada RM600 sebulan.
Kelayakan Elaun Pekerja OKU turut diperluas kepada individu berpendapatan sehingga RM2,000.
Bantuan Kanak-Kanak pula ditingkatkan kepada RM250 sebulan bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dan RM200 bagi mereka berusia tujuh hingga 18 tahun.
Selain itu, Geran Sejahtera MADANI berjumlah RM200 juta disediakan untuk memanfaatkan 40,000 wanita menerusi bantuan peralatan dan latihan bagi menjana pendapatan.
Nancy berkata, Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAi) turut diperluas bagi membantu 2,000 pasangan, selain peluasan perkhidmatan kesejahteraan lelaki oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
“Inisiatif berkenaan menyokong pelaksanaan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026–2030 bagi memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan berkualiti dan mampu milik, selain mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor itu,” katanya.
Mengulas Program Santuni KASIH, beliau berkata, program berkenaan menjadi wadah untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat menerusi pendekatan turun padang.
Antara pengisiannya termasuk sesi libat urus, perkongsian maklumat mengenai dasar, program, bantuan dan perkhidmatan KPWKM, selain memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan berkaitan.
Pada majlis sama, Nancy turut menyambut kehadiran hampir 150 kaunselor berdaftar dari seluruh negara sempena Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua kaunselor atas pelaksanaan pelbagai aktiviti, program advokasi dan perkhidmatan kaunseling sepanjang tahun ini bagi meningkatkan kesedaran serta mengurangkan stigma terhadap bantuan profesional.




