Sarawak bakal guna pembayaran digital

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyusun semula urus niaga berasaskan tunai dan menggunakan pembayaran digital dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata dengan formula baharu itu, kerajaan Sarawak dengan cekap dapat mengurangkan Ekonomi Hitam dan meningkatkan hasil melalui cukai jualan.

“Ini adalah salah satu manfaat yang paling jelas dan biasa dalam Ekonomi Digital, apabila transaksi didigitalisasi, pemantauan jualan dan cukai menjadi lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Selain itu, Abang Johari berkata dengan pengenalan ‘Blockchain’ dalam pengurusan dan transaksi akaun dan pembayaran, pemantauan rekod pembayaran, jualan, perolehan, pengebilan, pengumpulan dan penjanaan laporan kewangan menjadi sangat automatik yang akan menghapuskan sebarang intervensi manusia dan membolehkan ketelusan, kos keseluruhan  kecekapan, kelajuan dan penggunaan sumber yang optimum.

“Blockchain akan menjadi salah satu faedah yang lebih jelas dan biasa dalam Ekonomi Digital kepada rakyat dan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Sarawak boleh menjadi wilayah yang setaraf dengan negara maju dalam perjalanan digitalnya, menerusi strategi yang sudah dirangka dan dengan sokongan dari seluruh masyarakat.

Menurutnya, terdapat begitu banyak faedah lain dari ekonomi digital yang hampir setiap negara di dunia sedang melangkah.

Bagi Sarawak, katanya kerajaan memulakan perjalanan ekonomi digital sejak beliau mengambil alih sebagai Ketua Menteri dan telah mencantumkan strategi serta pelan tindakan yang kini berada di tahap awal pelaksanaan.

“Kami akan menjalankan dan melancarkan projek-projek digital dan rakyat akan mendapat faedah daripada usaha ini.

“Kita tidak boleh ketinggalan dari segi penggunaan teknologi digital dan pertumbuhan ekonomi digital yang dapat memberi manfaat kepada rakyat.