KUALA LUMPUR: Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ajay Sharma bagi meneroka potensi kerjasama jangka panjang dengan rakan strategik dari United Kingdom dalam sektor semikonduktor dan mikroelektronik.
Delegasi SMD diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Shariman Jamil, yang mengetengahkan komitmen strategik syarikat itu untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang inovasi, pertukaran teknologi dan pembangunan keupayaan semikonduktor berprestasi tinggi.
Antara topik utama perbincangan ialah kolaborasi SMD bersama Compound Semiconductor Applications Catapult (CSA Catapult) dari UK, termasuk pembangunan cip kecerdasan buatan (AI) baharu yang menggabungkan teknologi ciplet (chiplet) dan integrasi heterogen.
Inisiatif ini menandakan langkah penting dalam memajukan reka bentuk cip berprestasi tinggi untuk pasaran global.
Shariman berkata, kerjasama ini mencerminkan hubungan yang semakin erat antara Sarawak dan UK, disatukan oleh cita-cita bersama untuk menerajui inovasi semikonduktor.
“Kami amat berbesar hati atas sokongan yang diberikan dan kunjungan ini menjadi satu mercu tanda penting dalam usaha kami membuka lebih banyak peluang bersama rakan UK, sambil meletakkan Sarawak di peta dunia sebagai hab reka bentuk cip maju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut berkongsi tentang Pelan Induk Semikonduktor Sarawak 2030 iaitu Melangkaui Hukum Moore (Beyond Moore’s Law), dan memaklumkan kepada Pesuruhjaya Tinggi mengenai penyertaan SMD dalam Microelectronics UK 2025.
Katanya ia merupakan salah satu platform terkemuka Eropah dalam bidang semikonduktor dan inovasi elektronik, yang bakal berlangsung pada 24 dan 25 September di ExCeL London.
Ajay Sharma dalam pada itu menyatakan sokongan padu beliau terhadap keterlibatan yang semakin berkembang antara Sarawak dan United Kingdom dalam bidang teknologi canggih dan semikonduktor.
“Kerjasama saling menguntungkan ini mencerminkan komitmen bersama kita untuk memperkasa inovasi, memperkukuh hubungan dagang, dan menyokong pembangunan mampan.
“Saya amat mengalu-alukan inisiatif seperti ini dan berharap dapat terus memperkembangkan dialog serta perkongsian dalam bidang yang menjadi kepentingan bersama,” ujarnya.
Shariman turut memaklumkan bahawa SMD akan mengetengahkan beberapa inovasi utama, termasuk Prototip Penukar Kuasa ‘keteq.ai’ iaitu satu cip inovatif yang dibangunkan bersama CSA Catapult.
“Prototip ini telah diperkenalkan buat kali pertama dalam satu majlis menandatangani kerjasama di Wales yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada April lalu,” ujarnya.

