ARTIKEL

Roland Sagah ketika ditemui pemberita.

Sarawak bakal perkenal sistem penilaian peperiksaan, pastikan pendidikan pelajar tidak terbantut

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Sarawak bercadang memperkenalkan sistem penilaian peperiksaan sendiri bagi mengukur tahap pencapaian pelajar sebelum memilih untuk memasuki aliran sains atau sastera.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, kerajaan Sarawak akan mewujudkan sistem sendiri bagi melaksanakan penilaian tersebut supaya tidak terus terikat dengan dasar pendidikan Persekutuan.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Bagi peringkat nasional yang mahu mengekalkan dasar tersebut, ia terpulang kepada mereka. Tetapi bagi Sarawak, kita akan mengusahakan sesuatu untuk mempunyai sistem penilaian sendiri.

“Kita percaya ia adalah salah satu cara terbaik untuk mengetahui tahap prestasi pelajar. Jika tidak, kita hanya mempunyai pelajar yang bertahun-tahun hadir ke sekolah tanpa mengetahui apa pelajaran yang mereka tercicir dan terbantut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Dan Inovasi Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan, hari ini.

Menurutnya, inisiatif itu juga bagi meningkatkan kualiti sistem pendidikan Sarawak supaya terus bergerak maju dan tidak mendatar.

Terdahulu pada Sabtu, Fadhlina sekali lagi mengulangi jaminan bahawa UPSR tidak akan dikembalikan walaupun terdapat banyak permintaan daripada ibu bapa yang mahu ia dilaksanakan sebagai penanda aras pencapaian para pelajar.

Untuk rekod, KPM memansuhkan sepenuhnya UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bermula tahun 2021, seterusnya memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU