KUCHING: Sarawak sedang membangunkan ekosistem kecerdasan buatan (AI) yang merangkumi infrastruktur pengkomputeran tempatan, Kampus Data AI Kuching di Tanjung Embang dan Grid AI, dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada platform luaran serta menjadikan data sebagai aset strategik negeri.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pendekatan itu penting bagi memperkukuh keupayaan Sarawak membangunkan dan menggunakan teknologi AI berdasarkan keperluan serta keutamaan negeri sendiri.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata Platform Infrastruktur AI Berdaulat Sarawak yang dilancarkan secara rasmi pada Ogos lalu menyediakan asas bagi pengkomputeran AI yang ditadbir secara tempatan, selain memastikan pengurusan, tadbir urus dan perlindungan data strategik kerajaan dilaksanakan secara selamat.
“Dengan membawa data, pengkomputeran dan keupayaan AI ke dalam persekitaran yang lebih bersepadu serta ditadbir secara tempatan, ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada platform luaran, di samping memperkukuh keupayaan Sarawak untuk membangunkan dan melaksanakan AI bagi memenuhi keutamaan negeri sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak Ke-9 (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak turut akan membangunkan Kampus Data AI Kuching di Tanjung Embang sebagai pemangkin kepada fasa seterusnya ekosistem AI negeri.
Katanya, kampus itu akan dilengkapi infrastruktur bekalan tenaga dan air khusus, kemudahan pengkomputeran AI serta nod kesalinghubungan digital, dan akan dibangunkan menerusi pendekatan kerjasama awam-swasta.
“Kampus ini bertujuan menyediakan asas fizikal bagi pembangunan Grid AI, di samping mewujudkan platform untuk menarik pelaburan, memperkukuh ekosistem pusat data kita serta menyokong pertumbuhan perniagaan dan keupayaan berkaitan AI di Sarawak,” katanya.
Seiring dengan itu, Abang Johari berkata Grid AI pula sedang dibangunkan bagi menghubungkan sumber pengkomputeran serta memanfaatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui Sarawak.
Katanya, gabungan inisiatif itu menunjukkan perkembangan Sarawak daripada peringkat strategi kepada infrastruktur, dan seterusnya daripada infrastruktur kepada aplikasi yang mampu memberikan nilai kepada ekonomi sebenar.
“Signifikannya terletak pada keupayaan kita untuk mengaplikasikan AI secara bertanggungjawab bagi memenuhi keutamaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan ADAM AI dalam Perkhidmatan Awam Sarawak menjadi contoh praktikal bagaimana teknologi itu boleh dimanfaatkan untuk mengendalikan maklumat yang dibenarkan, menyokong analisis dasar, menyediakan dokumen, menilai senario dan membantu proses membuat keputusan.
Abang Johari turut menegaskan Sarawak mahu memanfaatkan kekuatan tenaga boleh diperbaharui negeri bagi menyokong pembangunan teknologi masa hadapan, termasuk AI sekali gus mewujudkan peluang baharu dalam pelaburan, pusat data dan industri berasaskan teknologi.
Katanya, pendekatan itu selari dengan usaha Sarawak memperkukuh kedudukannya dalam ekonomi digital serta membina kapasiti teknologi yang bukan sahaja memenuhi keperluan tempatan, malah mampu bersaing dan menembusi pasaran lebih luas.




