MUKAH: Sarawak akan membangunkan terminal gas asli cecair (LNG) terapung pertama di Kuching menerusi kerjasama Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan syarikat infrastruktur tenaga maritim Norway, Höegh Evi, dengan sasaran mula beroperasi pada 2029 atau awal 2030.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama itu melibatkan pembangunan kemudahan LNG terapung yang bukan sahaja membolehkan penyimpanan dan regasifikasi, malah membuka ruang kepada pengedaran gas ke daratan serta pelanggan berskala lebih kecil.
Menurutnya, perbincangan dengan syarikat dari Norway yang mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam pengurusan terminal LNG terapung itu telah berlangsung lebih setahun.
“Pengalaman berkenaan penting kerana sistem itu membolehkan LNG ditempatkan di atas kapal sebelum diagihkan ke daratan atau kepada pengguna yang memerlukan bekalan berskala lebih kecil,” katanya.
“Syarikat ini mempunyai pengalaman lebih daripada 50 tahun dalam pengurusan LNG terapung; maknanya, mereka mempunyai kapal tangki dan LNG boleh ditempatkan di sana,” jelasnya.
“Kita juga boleh mengagihkan LNG daripada kapal ke daratan ataupun kepada mereka yang hendak membeli LNG secara kecil-kecilan; ini adalah yang pertama di rantau ini dan insya-Allah pada 2029 atau awal 2030 ia akan beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Mukah di sini, hari ini.
PETROS dan Höegh Evi menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama pada 1 Oktober lalu untuk membangunkan Terminal LNG Kuching sebagai sebahagian daripada pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching.
Projek itu akan merangkumi unit penyimpanan dan regasifikasi terapung, infrastruktur tambatan, saluran paip dasar laut dan daratan serta kemudahan penerimaan di darat, dengan PETROS menyasarkan bekalan gas pertama menjelang akhir 2029.
Mengulas lanjut, ujarnya, kemudahan itu akan menjadi sebahagian daripada Hab Rendah Karbon Kuching yang turut berkait dengan pembangunan Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang.
Hab berkenaan dirancang sebagai ekosistem industri rendah karbon bersepadu yang merangkumi pembangunan sumber huluan, pengurusan karbon, penjanaan kuasa LNG, pemprosesan hiliran serta pembangunan taman industri.
“Walaupun kita mempunyai minyak dan gas, harga bahan api itu sekarang turun naik dan ada negara lain yang membekalkan gas; jadi, kita boleh memprosesnya kepada produk bernilai tambah tinggi,” katanya.
“Justeru, pembangunan terminal itu penting bagi memberi Sarawak lebih banyak pilihan bekalan gas pada masa depan, termasuk ketika harga gas global berubah-ubah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak turut merancang membangunkan loji LNG berskala kecil menggunakan sumber gas tempatan.
Menurutnya, teknologi sedemikian kini lebih mudah dilaksanakan berbanding ketika kompleks LNG berskala besar mula dibangunkan di Bintulu.
“Kita boleh menubuhkan loji LNG kecil yang dapat mengeluarkan LNG secara berskala kecil kerana teknologi itu sudah ada,” katanya.
“Dulu yang kita bina di Bintulu memang harganya tinggi; kini sudah ada teknologi termasuk tangki kecil untuk pengedaran,” jelasnya.
Jelasnya, LNG yang diterima melalui terminal berkenaan boleh melalui proses regasifikasi, iaitu ditukar kembali daripada bentuk cecair kepada gas sebelum digunakan sebagai bahan mentah untuk aktiviti hiliran.
Tambahnya, strategi berkenaan selari dengan usaha Sarawak meningkatkan nilai sumber gas tempatan, termasuk melalui pembangunan industri hiliran yang mampu menghasilkan produk bernilai lebih tinggi.

