ARTIKEL

ADUN Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang

Sarawak berhak tentukan hasil minyak sendiri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Isu pelaksanaan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74) dan Akta Laut Wilayah 2012 (TSA2012) kembali menjadi perhatian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak apabila ADUN Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang, mempersoalkan tahap keabsahan dan keadilan akta-akta berkenaan terhadap Sarawak.

Beliau menekankan bahawa kedua-dua akta tersebut dilaksanakan tanpa rundingan atau persetujuan yang sewajarnya daripada negeri ini, sekali gus bertentangan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang kini telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Lebih satu trilion ringgit hasil minyak dan gas telah disumbangkan oleh Sarawak sepanjang lebih lima dekad, namun manfaat yang kembali kepada negeri ini amat terhad,” ujarnya ketika membahas Usul Penghargaan Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, di sini hari ini.

Menurut beliau, PDA74 diluluskan sewaktu negara berada dalam perintah darurat, manakala TSA2012 diperkenalkan tanpa sebarang perundingan terbuka dengan Sarawak — menjadikannya tidak sejajar dengan prinsip keadilan antara Persekutuan dan negeri.

Katanya lagi, tiada undang-undang yang digubal secara sepihak di Parlimen boleh mengatasi hak-hak yang termaktub dalam MA63 tanpa persetujuan rasmi Sarawak.

“Negeri-negeri pengeluar minyak lain mungkin tertakluk kepada PDA74, tetapi Sarawak mempunyai kedudukan tersendiri.

“Tanpa MA63, tidak akan wujud Malaysia,” tegasnya sambil menyeru agar Kerajaan Persekutuan mendengar suara rakyat Sarawak yang kini semakin peka terhadap hak mereka.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan pembinaan loji penapisan minyak di Sarawak bagi menambah nilai ke atas hasil petroleum negeri ini.

“Jika Singapura, negara yang tidak mempunyai sumber minyak, mampu menjadi hab penapisan minyak serantau, sudah tiba masanya Sarawak memanfaatkan sumber sendiri untuk menjana peluang ekonomi dan pekerjaan berkemahiran tinggi,” tambah beliau.

Lo turut mencadangkan agar kerajaan Persekutuan dan negeri menambah jumlah pusat pemulihan dan rumah peralihan di Sarawak bagi menangani isu penagihan dadah secara berkesan.

Beliau berkata ketika ini hanya terdapat satu pusat pemulihan, iaitu PUSPEN di Puncak Borneo, yang tidak mencukupi bagi menampung keperluan rawatan dan pemulihan di seluruh negeri.

“Pusat sebegini perlu menyediakan perkhidmatan nyah toksik, kaunseling, latihan vokasional dan pembangunan kemahiran hidup,” katanya sambil memuji kejayaan Kampung Haji Baki yang mengekalkan status bebas dadah selama tiga tahun berturut-turut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU