KUCHING: Menjelang Forum Ekonomi Hidrogen (H2EF) 2025 yang akan berlangsung dari 13 hingga 14 Mei di Hilton Kuching, tumpuan kini terarah kepada tokoh-tokoh pemikir global yang memacu inovasi dalam sektor hidrogen.
Antara yang bakal tampil ialah Mats de Ronde, Ketua Pasaran Tenaga & Strategi di DNV, yang dijadual berkongsi pandangan tentang peranan hidrogen dalam landskap tenaga masa hadapan.
Menurut de Ronde, masa depan tenaga bukan sahaja bersih dan lestari, malah mampu membuka peluang ekonomi baharu.
“Sarawak berada dalam kedudukan strategik untuk menjadi peneraju peralihan tenaga di rantau ini, berikutan sumber tenaga boleh diperbaharui yang berkualiti tinggi — bukan sahaja mencukupi untuk keperluan dalaman, malah berpotensi untuk dieksport melalui kabel dasar laut atau dalam bentuk hidrogen bersih,” katanya.
Bercakap mengenai peranannya dalam forum tersebut, beliau menekankan bahawa kejayaan dalam ekonomi hidrogen memerlukan gabungan faktor yang seimbang.
“Peluang dalam bidang hidrogen sangat luas, namun untuk benar-benar memanfaatkannya, semua komponen penting seperti teknologi, pembiayaan, dan dasar perlu bergerak seiring. Semua kepingan dalam ‘puzzle’ ini perlu dipadankan dengan tepat,” jelasnya.
Beliau turut memberikan peringatan praktikal kepada pihak yang berminat menceburi sektor ini:
“Hidrogen akan memainkan peranan penting dalam usaha penyahkarbonan global, namun ia bukan satu-satunya jalan. Kita perlu bersikap realistik terhadap peranan sebenar hidrogen, dan jangan terbawa oleh keterujaan yang boleh membawa kepada kekecewaan. Pelan infrastruktur jangka panjang perlu dirangka tanpa mengabaikan peluang jangka pendek,” katanya.
Tambah beliau, walaupun hidrogen telah digunakan dalam pelbagai sektor selama lebih 100 tahun, penggunaannya kini adalah dalam konteks yang berbeza.
“Kita sedang beralih kepada aplikasi baharu seperti penjanaan tenaga dan pengangkutan. Hidrogen juga bakal menjadi komoditi perdagangan global. Masih banyak ketidakpastian mengenai kaedah pengangkutan terbaik, dan ini membuka ruang inovasi dalam bidang seperti hidrogen cecair, pembawa hidrogen organik cair (LOHC), dan hidrida logam,” tambahnya.

