KUCHING: Sarawak berpotensi menjana sehingga 22,000 megawatt (MW) tenaga, dan angka itu mungkin meningkat jika sumber tenaga dipelbagaikan, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, menjelang 2030, kapasiti tenaga Sarawak dijangka meningkat kepada 10 gigawatt (GW) dan 15 GW pada 2035, melebihi keperluan domestik negeri.
“Berdasarkan sumber sedia ada, Sarawak mampu menjana sehingga 22 GW tenaga, dengan potensi lebih tinggi melalui kepelbagaian sumber termasuk hidro, solar dan biomas.
“Di sini kita lihat bahawa tenaga kita bertambah, tetapi penggunaan dalam Sarawak tidak mencecah tujuh GW.
“Lebihan itu kita kongsi dengan ASEAN, termasuk mengeksport satu GW ke Singapura dan Semenanjung Malaysia, serta meningkatkan bekalan ke Kalimantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen GPS bertemakan “Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030: Visi Jadi Realiti” di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Menjelas lanjut, katanya, lebihan kapasiti itu juga membuka peluang kepada sumber pendapatan baharu melalui eksport tenaga ke negara jiran.
“Ini bermakna kita mempunyai rizab tenaga yang besar. Kalau kita jual, ia akan menjadi sumber pendapatan baharu untuk Sarawak. Sebab itu sektor tenaga sangat penting,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan kekuatan sumber ekonomi sahaja tidak mencukupi tanpa kepimpinan yang berintegriti, merujuk kepada beberapa negara kaya sumber yang masih berdepan kemiskinan.
“Apa yang ingin saya tekankan ialah sumber ekonomi kita kukuh. Namun, terdapat banyak negara yang memiliki sumber ekonomi yang besar, tetapi masih berdepan pelbagai masalah termasuk kadar kemiskinan yang tinggi.
“Kita boleh lihat di Afrika seperti Nigeria dan Sudan. Walaupun mempunyai minyak dan pelbagai sumber, negara-negara tersebut masih miskin. Mengapa? Kerana ketiadaan kepimpinan yang benar-benar ikhlas dan berintegriti.
“Bagi kita di Sarawak, kita mempunyai sumber yang mencukupi. Oleh itu, kita memerlukan kepimpinan yang bersih dan berintegriti.
“Kita dapat melihat bahawa negara yang kaya dengan sumber tidak semestinya makmur jika tiada kepimpinan yang ikhlas,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan mengekalkan kepimpinan yang bersih dan berorientasikan perkhidmatan kepada rakyat bagi memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.

