
KUCHING: Muzium Warisan Perindustrian Brooke Dockyard antara lima muzium dan galeri yang bakal dibuka kepada pengunjung pada tahun ini, kata Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu, muzium dan galeri lain yang akan dibuka adalah Taman Arkeologi Santubong, Pusat Wallace, Muzium Limbang dan Galeri Rumah Sri Aman.
“Selain itu, terdapat 14 projek dijalankan di bawah Jabatan Muzium Sarawak (JMS) termasuk lima projek memulihara dan menaik taraf Kubu Emma, Kubu Brooke, Kubu Lili, Kubu Hose, Kubu Sylvia dan Kubu Arundell.
“Malah, pembangunan kandungan bangunan lama Muzium Sarawak juga sedang giat dijalankan. JMS juga akan membuka bangunan lama Muzium Sarawak untuk aktiviti pelancongan bermula Mac depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Dan Jalinan Kasih Jabatan Muzium Sarawaj 2023 di Hotel Pullman di sini, malam tadi.
Dalam pada itu kata Abdul Karim, pelbagai program menarik bakal dilaksanakan oleh JMS di Muzium Budaya Borneo (BCM) tahun ini.
“Antara program tersebut adalah Malam di Muzium serta Sehari di Muzium bersama sekolah, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta orang awam,” katanya.


