KUCHING: Sarawak kini membuka peluang kerjasama serantau dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan digital.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, kekuatan tenaga boleh diperbaharui dan kestabilan dasar negeri membuka peluang baharu di rantau ini dalam bidang data, hidrogen dan infrastruktur digital, sekali gus mengukuhkan peranan Sarawak menuju masa depan hijau ASEAN.
“Kini kita dapat berkongsi kepakaran dengan rakan-rakan di ASEAN melalui perkongsian strategik, latihan serta pemindahan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS25) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Tambah beliau, melalui inisiatif ASEAN Power Grid, Sarawak Energy telah mengeksport tenaga boleh diperbaharui ke Kalimantan Barat dan sedang membangunkan sambungan baharu ke Brunei dan Singapura.
“Di Baram, Program Tenaga DeepTech akan melaksanakan projek loji solar berkapasiti 300 megawatt dengan sistem penyimpanan tenaga bateri 2,200 megawatt-jam yang akan menjadi teras kepada taman pusat data hijau 200 megawatt,”ujarnya.
Menjelas lanjut, Taman Teknologi Hijau Kota Petra kini memacu integrasi digital bagi pembangunan hab seluas 3,000 ekar yang dirancang dengan loji solar berskala besar berkapasiti 300 megawatt serta sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 600 megawatt-jam.
“Inisiatif yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) ini akan membekalkan tenaga kepada tapak pusat data berasaskan AI dan industri berteknologi tinggi, sekali gus mengukuhkan peranan Sarawak sebagai pangkalan industri hijau,”jelasnya.
Selain itu, beliau berkata pembangunan ini akan disatukan di Taman Pusat Data Sarawak, dengan Sarawak Energy sebagai rakan utama pembekal tenaga.
Dalam pada itu, beliau berkata bekalan tenaga merentas sempadan Sarawak ke Kalimantan kini dilengkapi dengan laluan baharu.
Tegas beliau, kepimpinan Sarawak akan diiktiraf bukan sahaja melalui pembangunan fizikal, tetapi juga melalui keupayaan negeri ini memacu pertumbuhan serantau.




