ARTIKEL

RASMI… Awang Tengah merasmikan Anjung Usahawan Kampung Pahlawan, hari ini. | (FOTO: TVS)

Sarawak cadang buka STATOS di Kalimantan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LIMBANG: Sarawak bercadang untuk membuka Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) di Kalimantan, Indonesia, selepas penubuhan yang sama dilakukan di Singapura dan Brunei Darussalam.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata penubuhan ini seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk meluaskan lagi pasaran ekonomi dan ekopelancongan.

“STATOS ini akan berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan perdagangan dan budaya serta membuka peluang baru dalam sektor ekonomi dan pelancongan, sekaligus memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Ini adalah dalam perancangan sekarang dan kita sedang mengenal pasti bangunan yang sesuai.

Tahun lalu, saya merancang untuk ke Pontianak bagi mengenal pasti bangunan yang sesuai tetapi belum ada kesempatan.

Tahun ini, kita akan ke sana bagi mewujudkan STATOS di Kalimantan, Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Anjung Usahawan Kampung Pahlawan dan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri 2025, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata inisiatif ini menunjukkan komitmen Sarawak untuk memupuk kerjasama yang lebih erat dengan negara jiran dan integrasi serantau di Asia Tenggara.

Jelasnya, ini dapat membantu meningkatkan pasaran perdagangan dan perniagaan di Sarawak.

Dalam pada itu, Awang Tengah turut memberitahu bahawa kerajaan mengambil berat akan kepentingan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai pemangkin kepada ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya di luar bandar.

“IKS menjadi salah satu penyumbang besar kepada pelaburan dan ekonomi negeri, yang mana kebanyakannya terbabit dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan.

“Justeru, melalui penubuhan STATOS kelak, IKS di Sarawak dapat memperluaskan pasaran produk dan perniagaan mereka ke luar negara, khususnya negara di rantau Asia,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU