Pix: Hasidah semasa pembentangan RUU Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau), 2023 pada pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini. (Foto oleh Ramidi Subari)
KUCHING: Kerajaan Sarawak bercadang untuk menubuhkan Panel Penasihat yang akan memberi tumpuan kepada isu perubahan iklim selepas Rang Undang-Undang (RUU) Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau), 2023 diluluskan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, tumpuan itu juga termasuk dengan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCS); kredit dan harga karbon, pelepasan; strategi peralihan tenaga yang menyasarkan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Katanya, pengurangan pelepasan dan kredit karbon yang dikeluarkan untuk projek di Sarawak ini menyumbang kepada pengurangan kesan perubahan iklim dan akan dilaporkan kepada Kerajaan Persekutuan.
Jelasnya, laporan itu juga untuk dimasukkan dalam Sumbangan Ditentukan Negara (Nationally Determined Contribution of Malaysia) untuk dikemukakan kepada Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) .
“RUU ini mungkin megakibatkan implikasi
kewangan kepada negeri, yang ketika ini tidak dapat ditentukan dengan tepat.
“Justeru, sebaik sahaja ia diluluskan, kementerian akan bekerjasama dengan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri untuk menggariskan keperluan bagi melaksanakan sekali gus mentadbir ordinan ini dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa pembentangan RUU Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau), 2023 pada pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Tambahnya, pengenalan RUU itu juga merupakan manifestasi jelas komitmen Kerajaan Sarawak untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.