KUCHING: Sarawak menamatkan cabaran Kejohanan Boling Ke-37 Antara Negeri 2026 dengan pungutan 15 pingat, merangkumi lima emas, dua perak dan lapan gangsa, sekali gus menduduki tempat kedua keseluruhan.
Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) berkata, kempen negeri ditutup dengan cemerlang apabila skuad lelaki meraih emas acara berpasukan menerusi Musayyar Khalid, Tsen Fan Yew, Isaac Russell Paul dan Chong Jun Foo.
“Pengakhiran yang cukup baik buat Sarawak apabila pasukan lelaki berjaya meraih pingat emas selepas mencatat 4,940 jatuhan pin, menang dengan kelebihan hanya tiga pin ke atas Kuala Lumpur,” menurut ABAS dalam kenyataan, kelmarin.
Kejayaan Sarawak diteruskan dalam acara All Events lelaki apabila Tsen Fan Yew dan Isaac Russell Paul masing-masing menaiki podium.
Tsen meraih perak selepas mengumpul 3,821 jatuhan pin dengan purata 212.3, manakala Isaac membawa pulang gangsa menerusi 3,797 jatuhan pin dan purata 210.9.

Norhayati Hussain pula menambah koleksi pingat Sarawak apabila meraih gangsa dalam acara All Events Senior Wanita selepas merekodkan keseluruhan 3,189 jatuhan pin.
Menurut ABAS, pencapaian keseluruhan itu menyaksikan Sarawak bersedia untuk memburu kejuaraan dalam kejohanan seterusnya.
“Kejohanan ini sudah berakhir, tetapi pemburuan kami belum selesai.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pemain Sarawak yang akan meneruskan cabaran dalam Kejohanan Kebangsaan. Tetapkan semula fokus dan bersedia untuk memburu kejayaan seterusnya,” jelas ABAS.
ABAS turut merakamkan penghargaan kepada semua atlet, jurulatih, pengurus dan pegawai yang membawa cabaran Sarawak sepanjang kejohanan.
Pertandingan yang menyaksikan pasukan Selangor mengekalkan kejuaraan keseluruhan itu merupakan sebahagian daripada Kejohanan Kebangsaan Malaysia Ke-48 yang berlangsung di Sunway Mega Lanes dari 27 September hingga 5 Oktober.
Kejohanan ini mempertandingkan beberapa acara utama termasuk perseorangan, beregu, berpasukan dan All Events, serta menghimpunkan wakil negeri serta Wilayah Persekutuan daripada seluruh negara.
Kejohanan edisi kali ini membabitkan 120 pemain, dengan masing-masing 15 pasukan dalam kategori lelaki dan wanita daripada seluruh Malaysia termasuk Putrajaya.



