ARTIKEL

Pic: Pelbagai jenis ikan yu

Sarawak catat pendaratan tertinggi ikan yu di Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Sarawak muncul sebagai negeri tertinggi mencatat pendaratan ikan yu di Malaysia bagi tahun 2024 dengan jumlah sebanyak 2,208.90 tan metrik, sekali gus menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan jumlah pendaratan negara.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, secara keseluruhan sebanyak 5,610.55 tan metrik ikan yu direkodkan mendarat di perairan negara tahun lalu.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perikanan Malaysia, Perak berada di kedudukan kedua dengan 994.04 tan metrik, diikuti Kelantan sebanyak 783.99 tan metrik dan Sabah mencatatkan 545.77 tan metrik.

“Beberapa negeri lain seperti Pahang, Selangor, Labuan dan Terengganu turut menyumbang jumlah pendaratan, manakala Negeri Sembilan tidak mencatat sebarang rekod. Perlis dan Kedah pula masing-masing hanya merekodkan jumlah yang amat kecil iaitu 0.2 dan 1.6 tan metrik,” ujarnya.

Angka tersebut jelas memberi isyarat bahawa pengurusan sumber perikanan negara perlu diperkasakan dengan pendekatan lebih lestari dan menyeluruh.

“Sempena Hari Kesedaran Ikan Yu Sedunia yang disambut pada 14 Julai lalu, Jabatan Perikanan Malaysia menegaskan komitmennya dalam melindungi spesies yu sebagai sebahagian daripada usaha memelihara biodiversiti marin negara,” katanya.

Dalam konteks tersebut, lima spesies ikan yu telah pun diwartakan sebagai spesies dilindungi mengikut perundangan sedia ada.

“Spesies-spesies berkenaan termasuk Yu Tukul Parang (Sphyrna mokarran), Yu Tukul Rata (Sphyrna zygaena), Yu Tukul Parang varian (Eusphyra blochii), Yu Sirip Putih Besar (Carcharhinus longimanus) dan Yu Paus (Rhincodon typus).

“Kesemua spesies ini tidak boleh ditangkap, dimiliki, dijual atau dieksport dan sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan undang-undang,” jelasnya.

Beliau berkata, semua spesies tersebut merupakan pemangsa puncak dalam rantai ekologi laut dan kehilangan mereka boleh menjejaskan keseimbangan semula jadi yang penting bagi kelangsungan habitat laut serta sumber perikanan negara.

Beliau menyeru semua pihak – termasuk komuniti nelayan, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam berganding bahu menyokong usaha pemuliharaan dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Jabatan Perikanan, ujarnya, akan terus memperkukuh pelaksanaan pemantauan, penguatkuasaan dan program pendidikan awam secara bersepadu bersama agensi berkaitan serta komuniti tempatan demi memastikan sumber marin negara kekal terpelihara untuk generasi masa hadapan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai spesies dilindungi dan pengurusan perikanan secara mampan, orang ramai boleh mengunjungi portal rasmi Jabatan Perikanan Malaysia di www.dof.gov.my.

BERITA LAIN

GPS Amalkan Politik Penawar, Utamakan Kesejahteraan Rakyat

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus membuktikan komitmennya dengan pembangunan menyeluruh dan kesejahteraan rakyat menerusi Belanjawan Sarawak 2027, sekali gus mencerminkan pendekatan pentadbiran yang

BERITA TERBARU