KUCHING: Sarawak kini dalam proses mendaftarkan harta intelek (IP) bagi melindungi inovasi teras dan algoritma di sebalik pembangunan Keteq.ai, sekali gus menjadikan inovasi ini sebagai pencetus perubahan dalam reka bentuk semikonduktor berpandukan kecerdasan buatan (AI).
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, berdasarkan laporan Status Semasa Industri Semikonduktor (State of the Semiconductor Industry) yang diterbitkan pada November 2024, pasaran semikonduktor global dijangka melebihi USD1 trilion menjelang 2030, dipacu oleh permintaan dalam bidang AI, kenderaan elektrik, Internet Benda (IoT) dan komunikasi 5G.
Katanya, Sarawak berada pada kedudukan yang strategik untuk memainkan peranan penting dalam industri semikonduktor global, terutamanya dalam konteks konflik teknologi antara Amerika Syarikat dengan China – kedua-dua negara bersaing mendapatkan dominasi dalam teknologi cip dan pengeluarannya.
“Kesan daripada perang cip ini menyaksikan syarikat global seperti Intel, TSMC dan Samsung mula mempelbagaikan pengeluaran mereka ke Asia Tenggara, India, Eropah dan Amerika Syarikat, sekali gus beralih dari kawasan pengeluaran tertumpu kepada wilayah yang stabil secara geopolitik,’’ katanya demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Abang Johari menambah, Kerajaan Sarawak memperkenalkan Rangka Kerja Strategik Semikonduktor untuk memposisikan Sarawak sebagai hab semikonduktor bernilai tinggi yang kompetitif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Tambahnya, bulan lalu di Newport, Cardiff, beliau melancarkan Keteq.ai penukar kuasa AI Edge pertama di dunia yang dibangunkan oleh anak Sarawak melalui kerjasama antara Reka Bentuk Mikroelektronik Sarawak (SMD) dan CSA Catapult dari United Kingdom.
Peranti canggih ini merupakan penyelesaian revolusioner untuk membetulkan ralat dalam sistem kuasa secara masa nyata dan akan mengubah cara penggunaan AI terbenam dalam menjadikan mesin lebih pintar dan cekap, terutama bagi tugas yang memerlukan kelajuan, kestabilan dan kawalan autonomi.



