OSAKA: Sarawak kini berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030, Sarawak menyasarkan status negeri maju dengan pertumbuhan mampan dan ekonomi berteraskan digital, teknologi hijau serta keterangkuman sosial.

“Fokus utama kini diberikan kepada enam sektor teras ekonomi iaitu pembuatan, pertanian, pelancongan, perhutanan, perlombongan (termasuk minyak dan gas), dan perkhidmatan dengan penekanan kepada inovasi dan kerjasama global.
“Sarawak juga menerajui inisiatif Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) serta memperkenalkan Taman Teknologi Hijau Kota Petra, projek bandar pintar yang dijangka menarik pelaburan teknologi hijau dan menyokong ekosistem inovasi digital serantau.
“Lokasi strategik Sarawak di Pulau Borneo, dengan akses terus ke pasaran Asia yang mewakili hampir 60% penduduk dunia, menjadikannya pintu masuk pelaburan ke rantau ini,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa merasmikan Minggu Sarawak di Paviliun Malaysia sempena Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun, pada Jumaat.
Sektor tenaga boleh diperbaharui yang stabil, bersih dan mampu milik termasuk hidroelektrik, solar, biojisim dan teknologi sisa kepada tenaga turut memperkukuh peranan Sarawak sebagai destinasi utama pelaburan, ujarnya.
Tambah beliau, kerjasama erat Sarawak–Jepun telah lama terjalin dan kini semakin rancak terutama dalam sektor teknologi digital, tenaga hijau serta pembangunan industri hiliran.
Menurut Abang Johari, pada tahun 2024, nilai perdagangan Sarawak–Jepun mencecah RM31.6 bilion, manakala pelaburan dari Jepun dalam sektor pembuatan sejak 2011 berjumlah RM13.8 bilion, mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan.
“Sarawak turut memperkenalkan Taman Teknologi Hijau Kota Petra – sebuah projek bandar pintar bertaraf antarabangsa untuk menarik pelaburan teknologi hijau selain menerajui bidang Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) menjadikan Sarawak negeri pertama di Malaysia yang meluluskan undang-undang berkaitan,”ujarnya.
Abang Johari menegaskan potensi besar Sarawak sebagai hab pelaburan berasaskan tenaga bersih, tadbir urus telus, kestabilan politik dan akses terus ke pasaran Asia.
“Sarawak bukan sahaja terbuka kepada pelaburan, malah kepada penemuan, persahabatan dan pertukaran nilai,” katanya lagi.
Premier turut menekankan bahawa Sarawak mengambil peluang daripada Minggu Sarawak untuk mempamerkan transformasi ekonomi, warisan budaya, dan inisiatif kelestarian negeri yang kini muncul sebagai “jantung hijau Borneo”.
Dalam majlis sama, turut dimeterai ialah Memorandum Perjanjian (MoA) dan lima Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat dari Sarawak dan Jepun melibatkan pelaburan dalam sektor pembuatan, tenaga boleh diperbaharui, pelancongan (S-MM2H) serta perhutanan termasuk penanaman buluh.
Sarawak merekodkan 4.83 juta ketibaan pelancong pada tahun 2024, dengan Jepun muncul sebagai antara pasaran utama bagi pelancong yang mencari pengalaman alam semula jadi, budaya dan pengembaraan.
Minggu Sarawak yang berlangsung bertepatan dengan Hari ASEAN turut diserikan dengan persembahan kebudayaan seperti muzik tradisional Sape, demonstrasi tenunan Buriek dan pameran warisan seni etnik Sarawak, sekali gus memikat pengunjung Jepun yang tertarik dengan keunikan budaya dan alam semula jadi negeri itu.


