KUALA LUMPUR: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 dan Rang Undang-Undang Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 di Dewan Rakyat, semalam (Rabu) membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi tuntutan Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dengan kelulusan tersebut seiring Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1961, Kerajaan Sarawak diberi kuasa mengurus semua pelabuhan di wilayah ini.
“Terima kasih Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI kerana mendengar permintaan Kerajaan Sarawak untuk membawa RUU ke Dewan Rakyat, yang telah pun diluluskan pada hari ini (semalam).
“Terima kasih juga kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook serta sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli parlimen.
“Ini selaras MA63 dan Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1961 bahawa semua pelabuhan di Sarawak adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak,” katanya pada sidang media, malam tadi.
Susulan kelulusan tersebut juga, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menambah, tiga jawatankuasa ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Teknikal Peringkat Pegawai, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Khas.
“Ketiga-tiga jawatankuasa ini akan memperhalusi perkara berkaitan sumber manusia, aset-aset dan kewangan sebelum ia diwartakan.
“Tarikh kuat kuasa akan ditentukan oleh menteri melalui pemberitahuan dalam warta.
“Penentuan tarikh kuat kuasa akan ditetapkan setelah segala penelitian, perbincangan dan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak berkaitan perundangan, operasi pelabuhan, kewangan dan sumber manusia mendapat persetujuan daripada kedua-duak pihak,” ujarnya.
Jelasnya, semua ini dijangka dapat dimuktamadkan tahun ini.
Terdahulu, RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 dan RUU Pengisytiharan Suatu Kawasan Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Anthony Loke.
Pada 20 Februari 2023, Kerajaan Sarawak mengemukakan satu memorandum kepada Kementerian Pengangkutan mengenai hasrat untuk menukar status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Sarawak.
Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan memperhalusi permohonan itu bersama-sama Kerajaan Sarawak dan satu memorandum Jemaah Menteri mengenai hasil perbincangan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Mac 2024.

