KUCHING: Sarawak dijangka akan mula menerima taburan hujan yang lebih kerap dan menyeluruh apabila negara memasuki Fasa Peralihan Monsun pada Oktober nanti.
Pengarah Pejabat Meteorologi Sarawak, Khairul Najib Ibrahim berkata ia berdasarkan tinjauan taburan hujan jangka panjang yang dikeluarkan oleh Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Pada fasa ini kebiasaanya, kita akan menerima corak angin lemah dan pelbagai hala yang lebih menggalakkan pembentukan ribut petir dan hujan lebat pada skala setempat.
“Situasi ini dijangkakan sebelum kita melangkah sepenuhnya ke Monsun Timur Laut pada November yang menandakan bermulanya musim tengkujuh dengan jangkaan hujan yang lebih banyak dan menyeluruh,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia termasuk Sarawak ketika ini sedang berada di dalam fasa Monsun Barat Daya bermula sejak Mei dan dijangka akan berterusan sehingga penghujung September 2026.
Katanya corak cuaca musim itu lazimnya membawa cuaca yang lebih panas dan kering dengan jumlah hari tanpa hujan yang lebih banyak.
Sementara itu, Khairul berkata faktor El Nino juga menjadi salah satu penyumbang kepada peningkatan suhu, persekitaran kering serta potensi kebolehjadian berlakunya titik panas dan jerebu merentas sempadan seperti yang sedang berlaku sekarang ini.
“Ketika ini, berdasarkan pemantauan MetMalaysia, El Nino kini berada pada tahap sederhana dan diramal akan berterusan sekurang-sekurangnya sehingga April 2027.
“Ia juga berpotensi untuk mencapai tahap kuat atau sangat kuat pada Oktober hingga Disember 2026,” katanya.
Bagaimanapun, Khairul berkata walaupun berhadapan dengan cuaca yang agak kering, keadaan itu tidak bermakna ketiadaan hujan secara mutlak.
Katanya MetMalaysia masih mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir berskala setempat dari semasa ke semasa.
“Ketika ini hujan masih lagi berpotensi untuk berlaku dengan dorongan pemanasan secara perolakan yang menggalakkan pembentukan awan ribut petir pada sebelah petang,” katanya.

