ARTIKEL

Sarawak eksport 800 ekor babi hidup ke Selangor

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak terus mencipta sejarah dalam industri ternakan apabila berjaya mengeksport 800 ekor babi hidup ke Selangor, sekali gus melakar satu lagi langkah penting ke arah menjadikan negeri ini pengeksport bersih makanan menjelang 2030.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kejayaan ini membuktikan kemampuan penternak tempatan menembusi pasaran Semenanjung Malaysia dan bersaing.

“Ini usaha besar tetapi realistik. Kita eksport ke Singapura sejak 2017, dan kini penternak dari Sibu, Singai dan Selangau bersedia menghasilkan lebih banyak untuk pasaran luar,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Tambah beliau, permintaan terhadap daging babi di Semenanjung Malaysia, khususnya Selangor amat tinggi dengan keperluan mencecah 3,000 ekor sehari.
“Kita baru hantar 800 ekor, ia jumlah yang kecil, tapi ini bukti kita mampu bersaing. Dengan sistem biosekuriti yang mantap dan sokongan kerajaan, Sarawak berada di landasan yang tepat,” tegasnya.

Keupayaan Sarawak mengawal penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF) turut menjadikan negeri ini rujukan negara ASEAN yang lain.

Katanya, amalan biosekuriti ketat yang diamalkan di ladang tempatan bukan sahaja berjaya mengekang penularan ASF, malah mengekalkan Sarawak sebagai negeri bebas penyakit kuku dan mulut (FMD) – satu kelebihan kompetitif yang penting dalam sektor ternakan.

Mengulas harga pasaran, Dr Rundi berkata kerajaan negeri komited memastikan harga daging babi kekal berpatutan.

“Harga semasa di Sarawak sekitar RM32 sekilogram, jauh lebih rendah berbanding RM45 di Sabah dan antara RM40 hingga RM45 di Semenanjung Malaysia,”jelasnya.
Dalam pada itu, Sarawak turut merancang untuk menubuhkan Sekolah Perubatan Veterinar baharu menerusi kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bintulu, yang kini dijenamakan sebagai UPM Sarawak.
“Ketika ini, kita hanya ada 15 doktor veterinar dalam sektor kerajaan dibandingkan dengan Brazil yang mempunyai 4,000 doktor, angka yang jauh berbeza,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU