KUCHING: Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak melakukan penyambungan elektrik secara haram terbongkar setelah serbuan di rumah teres dua tingkat Jalan Kong Ping di sini membawa kepada penemuan kabel pemintas elektrik.
Menurut kenyataan Sarawak Energy hari ini, dalam serbuan dijalankan oleh anak syarikat runcitnya, Syarikat SESCO Berhad (SESCO) bersama-sama polis baru-baru ini menemukan kabel pencurian di rumah tersebut.

‘’Kabel tersebut digunakan untuk memintas meter elektrik dan telah dirampas sebagai bahan bukti,’’ kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, kes kini disiasat di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik, yang membawa hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.
Sarawak Energy memaklumkan bahawa kes terbaru ini merupakan antara enam kejadian pencurian elektrik yang direkodkan di Kuching sejak 2024, dengan anggaran kerugian sekitar RM50,000.
Walaupun usaha penguatkuasaan dijalankan secara berkala, kes kecurian elektrik terus berlaku, menunjukkan keperluan untuk pemantauan yang lebih ketat serta peningkatan kesedaran orang ramai bagi membendung sambungan bekalan elektrik secara haram.
Sarawak Energy juga mengingatkan pemilik harta untuk memastikan penyewa mereka mematuhi peraturan elektrik.

