ARTIKEL

Sarawak Energy gesa orang ramai salur maklumat kes vandalisme lampu jalan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak Energy menggesa kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat susulan peningkatan kes vandalisme lampu jalan yang bukan sahaja menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Pengurus Besar Sarawak Energy Wilayah Barat, Effendy Syaiful Abdullah berkata, kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan infrastruktur awam terus dilindungi serta kawasan awam kekal selamat untuk kegunaan semua.

“Lampu jalan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan kawasan awam terutama pada waktu malam.

“Selain menjejaskan keselamatan awam, kerja-kerja pembaikan turut melibatkan kos tinggi kerana memerlukan penggantian komponen yang dicuri atau dirosakkan, di samping melibatkan pertambahan tenaga kerja.

“Justeru, kami menggesa orang ramai untuk segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membantu melindungi aset awam yang dikongsi bersama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan boleh dibuat menerusi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111, e-mel customercare@sarawakenergy.com, aplikasi mudah alih SEB Cares, portal web SEB Cares atau ejen maya CARINA.

Mengulas lanjut ujarnya, sebanyak 38 kes vandalisme melibatkan lampu jalan direkodkan di Sarawak pada tahun ini dengan 14 kes berlaku di Kuching.

“Kegiatan mencuri serta merosakkan kabel dan peralatan lampu jalan itu mengakibatkan kerugian melebihi RM300,000, termasuk kira-kira RM164,000 di Kuching sahaja.

“Antara lokasi yang terjejas ialah Jalan Siol Kanan, Jalan Pustaka, Jalan Stadium, Jalan Diplomatik, Jalan Setia Raja, Jalan Stampin, Jalan Song dan Jalan Landeh, selain kawasan sekitar Zon Perindustrian Bintawa serta Demak Laut,” jelasnya.

Tegasnya, vandalisme yang berulang juga memberi kesan terhadap pelaksanaan kerja penyelenggaraan berkala dan projek penambahbaikan infrastruktur awam.

“Sarawak Energy akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan.

“Kerjasama itu turut merangkumi usaha membanteras kegiatan mencuri komponen lampu jalan serta penjualan kabel dan besi buruk yang diperoleh secara haram,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU