KUCHING: Sarawak Energy Berhad komited dan mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di kawasan Matang yang kerap terputus.
Menurut kenyataan Sarawak Energy, Bahagian Operasi dan Peruncitan Sarawak Energy Syarikat SESCO Berhad (SESCO) telah membuat pelaburan dalam pelbagai inisiatif.

“Ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehpercayaan bekalan di kawasan yang terlibat bagi menangani kebimbangan yang disuarakan oleh penduduk setempat.
“Pada Oktober tahun ini juga, SESCO telah menerima empat laporan gangguan bekalan elektrik yang melibatkan kawasan Metrocity disebabkan oleh kegagalan peralatan, manakala di Matang Jaya terganggu kerana pencerobohan haiwan.
“Memandangkan elektrik di kawasan ini dibekalkan melalui talian atas, gangguan daripada faktor luaran seperti pokok tumbang adalah perkara biasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah kenyataan itu, pasukan SESCO juga pantas menyelesaikan isu di Matang Jaya dan memulihkan kuasa elektrik dalam masa dua jam selepas menerima laporan tetapi kerosakan peralatan di Metrocity yang teruk memerlukan masa hampir 24 jam untuk membaiki dan mengembalikan bekalan elektrik seperti biasa.
“Kami menyedari gangguan bekalan yang berulang di Matang dan Matang Jaya, terutamanya sepanjang tahun lalu.
“Walaupun terdapat beberapa gangguan bekalan tidak dapat dielakkan kerana penutupan sistem untuk sambungan dan penyelenggaraan pelanggan baharu, pasukan kami tetap berusaha untuk meminimumkan gangguan ini serta memulihkannya secepat mungkin selepas menerima laporan,” katanya.
Ujarnya, pada jam 9 malam, 11 Oktober lalu, mereka terpaksa melaksanakan penutupan kecemasan di Matang Jaya, Taman Crescent, Jalan Matang dan kawasan sekitarnya untuk menangani masalah yang membahayakan keadaan.
“Di samping itu, kami juga komited melaksanakan penyelesaian jangka panjang untuk kawasan ini dan mempercepatkan inisiatif ‘Smart Grid’ di talian bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan.
“Kami memohon maaf kepada pelanggan yang terjejas dan menghargai kesabaran semua,” jelasnya.
Dalam masa sama, Sarawak Energy memohon kerjasama orang ramai untuk segera melaporkan sebarang gangguan bekalan elektrik yang berlaku kerana pasukan teknikal sentiasa bersedia 24 jam sehari.
Orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan 24/7 Sarawak Energy di talian 1300-88-3111, e-mel customercare@sarawakenergy.com dengan menggunakan aplikasi mudah alih SEB Cares atau menghubungi ejen maya CARINA untuk melaporkan gangguan bekalan elektrik atau sebarang aktiviti yang mencurigakan berhampiran kemudahan tersebut.


