KUCHING: Sarawak Energy komited untuk memperkasa pembangunan hidrokuasa mampan, empangan dan tenaga boleh diperbaharui hasil Persidangan Antarabangsa Ke-3 mengenai Pengurusan dan Kejuruteraan Keselamatan Empangan (ICDSME 2025) yang diadakan di Kuching, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, tenaga hidro merupakan asas utama sistem tenaga boleh diperbaharui Sarawak yang berpotensi menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai, mampu milik dan rendah karbon sekali gus menyokong pertumbuhan mampan Sarawak.
“Empangan Bakun kini mempunyai kapasiti 2,520 megawatt (MW), Murum 944 MW dan Batang Ai 94 MW. Ketiga-tiga ini merupakan tulang belakang campuran penjanaan tenaga Sarawak yang menyumbang lebih 60 peratus daripada keseluruhan kapasiti, dengan projek hidroelektrik Baleh berkapasiti 1,285 MW bakal memperkukuh bekalan pada masa hadapan.
“Sarawak Energy komited dalam memajukan pembangunan hidrokuasa yang mematuhi standard tertinggi dari segi tanggungjawab alam sekitar dan sosial, selaras dengan rangka kerja serta standard pelbagai pihak berkepentingan yang diiktiraf antarabangsa dan ditadbir oleh Hydropower Sustainability Alliance (HSA).
“Kami percaya bahawa satu-satunya hidrokuasa yang boleh diterima adalah hidrokuasa mampan dan kami terus mengintegrasikan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam semua projek kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada hari pertama persidangan bertajuk “Hidrokuasa Mampan dan Keselamatan Empangan dalam Peralihan Tenaga Sarawak” pada 5 November lalu.
Sharbini turut menekankan inisiatif mitigasi dan adaptasi perubahan iklim bagi loji-loji hidroelektrik di Sarawak, di mana Sistem Pengurusan Pelepasan Air Dinamik (Dynamic Water Dispatch Management – DWDM) telah dilaksanakan di Empangan Bakun, Murum dan Batang Ai.
Sistem DWDM itu menggabungkan ramalan cuaca dan aliran masuk air dengan data operasi masa nyata, membolehkan pengoptimuman pengurusan sumber air serta memastikan paras takungan empangan kekal selamat di semua loji hidro utama.
Menegaskan kembali komitmen Sarawak Energy terhadap piawaian antarabangsa seperti Suruhanjaya Antarabangsa untuk Empangan Besar (ICOLD) dan Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan Malaysia (MyDAMS), beliau menekankan bahawa keselamatan kekal menjadi perkara asas dalam operasi.
“Keselamatan adalah keutamaan kami. Memastikan keselamatan empangan adalah kritikal bukan sahaja untuk kebolehpercayaan, ketahanan dan kemampanan sistem hidrokuasa Sarawak tetapi juga bagi melindungi komuniti serta alam sekitar,” katanya.
Terdahulu, Sarawak Energy telah dianugerahkan Anugerah Pengendali Empangan Terbaik bagi Empangan Bakun melalui Program Keselamatan Empangan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Malaysia untuk Empangan Besar (MYCOLD) pada Majlis Makan Malam Rasmi Persidangan ICDSME 2025.
Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy & PETROS), Datuk Ibrahim Baki yang mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Persidangan ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Malaysia untuk Empangan Besar (MYCOLD) dengan kerjasama ICOLD dan berlangsung dari 5 hingga 7 November 2025.


