KUCHING: Bagi memperkasa dan merapatkan jurang perkhidmatan di kawasan pedalaman, Sarawak Energy bakal melancarkan inisiatif perintis kaunter perkhidmatan bergerak yang beroperasi menggunakan kenderaan khas.
Naib Presiden Perkhidmatan Pelanggan Sarawak Energy, Ng Shou Fui berkata, kaunter bergerak ini akan dihantar ke lokasi-lokasi terpilih di luar bandar bagi membolehkan penduduk setempat membuat pembayaran bil serta mendapatkan perkhidmatan penting lain tanpa perlu ke pusat bandar.
“Sementara itu, pusat perkhidmatan sedia ada kekal beroperasi dengan sokongan kakitangan tetap untuk membantu pelanggan menggunakan kiosk layan diri serta memahami tawaran lain.
“Bagi pengalaman yang lebih baik, pelanggan digalakkan menggunakan Sistem Temujanji Sarawak Energy (SEAS) untuk menempah waktu lawatan ke kaunter lebih awal, selain menyemak senarai dokumen yang diperlukan melalui laman sesawang rasmi di sarawakenergy.com/customers/customer-service,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Di samping itu, ujarnya, pihaknya sedang memperkukuh perkhidmatan di seluruh negeri, terutama di kawasan Bintulu yang menyaksikan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pemasangan meter elektrik.
“Kami melihat peningkatan permohonan yang tinggi di Bintulu dan sedang menyelaraskan bantuan daripada pasukan cawangan lain bagi memastikan setiap permintaan dapat ditangani dengan cekap.
“Ia termasuk menambah bilangan tenaga kerja serta melanjutkan waktu operasi bagi memproses permohonan perkhidmatan dengan lebih pantas.
“Usaha ini merangkumi peningkatan keupayaan dalam pembacaan meter dan penyediaan bil elektrik serta melengkapkan platform digital sedia ada seperti aplikasi SEB cares,” jelasnya.
Dalam pada itu, ujarnya, Sarawak Energy juga sedang memperkukuh protokol komunikasi bagi memastikan pelanggan sentiasa dimaklumkan mengenai status permohonan, sekali gus meminimumkan kelewatan dalam pemasangan dan pemprosesan.
“Selain pemasangan meter, pelanggan juga disokong dalam urusan berkaitan akaun lain seperti pertukaran nama pemilik akaun berdaftar.
“Proses ini boleh diselesaikan dengan mudah dan cepat asalkan semua dokumen sokongan, termasuk bukti pemilikan hartanah atau perjanjian sewaan yang sah, dikemukakan serta tiada tunggakan bayaran yang berkaitan,” ujarnya.
Tambahnya, bagi memastikan kerja-kerja pendawaian dalaman berjalan lancar, pihaknya turut menjalin kerjasama erat bersama kontraktor bertauliah serta Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), dengan satu lagi sesi libat urus dijadualkan berlangsung hujung bulan ini.
Sebarang pertanyaan lanjut atau bantuan, pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan 24/7 Sarawak Energy di talian 1300-88-3111, melalui aplikasi SEB cares, atau e-mel ke customercare@sarawakenergy.com.



