KUCHING: Sarawak Energy menerima pengiktirafan untuk Anugerah Forward Faster 2026 pada Januari lalu atas kajian kes kelestarian tindakan iklim yang selaras dengan inisiatif UN Global Compact dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kajian kes impak daripada Science Based Targets initiative (SBTi) bertajuk ‘Leading Malaysia’s Climate Transition: Sarawak Energy’s Journey to Science Based Targets Validation’ menerima anugerah dalam kategori syarikat besar.
Anugerah itu diterima oleh Naib Presiden Kanan Sarawak Energy bagi Perkhidmatan Korporat Siti Aisah Adenan di hadapan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang merupakan tetamu kehormat pada majlis tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, pengiktirafan ini mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk memperkukuh tadbir urus tindakan iklim, meningkatkan akauntabiliti dan memastikan selaras dengan standard kelestarian global.
Beliau menambah, sejak 2010, Sarawak Energy meningkatkan usaha mengurangkan pelepasan karbon dalam operasi kami dan memperbaiki prestasi kelestarian.
Jelasnya, pihaknya berjaya mengurangkan karbon dalam sistem tenaga lebih daripada 70 peratus dengan memanfaatkan sumber tenaga hidroelektrik, memperoleh pensijilan standard kelestarian global untuk Loji Hidroelektrik Bakun, menubuhkan kumpulan penilai kelestarian dan membangunkan rangka kerja dalaman untuk membimbing pasukan kami.
“Pengiktirafan ini oleh UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) mencerminkan kemajuan kami dalam menjadikan kelestarian daripada niat kepada impak sebenar,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Aisah berkata anugerah ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk menanamkan standard antarabangsa dan amalan terbaik dalam operasi perniagaan, sambil bergerak ke arah menjadi peneraju kelestarian serantau.
Pada majlis yang sama, Abang Johari turut menerima penghargaan tertinggi acara tersebut iaitu Forward Faster Sustainability Visionary Award 2026, manakala Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak menerima ‘Forward Faster Sustainability Nexus Award 2026’.

