KUCHING: Pengusaha hotel di Sarawak digalakkan untuk mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia bagi meningkatkan keyakinan dalam kalangan pengguna terutamanya Muslim.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha berkata, perkara tersebut penting lebih-lebih lagi menjelangnya Ramadan kelak kerana banyak hotel yang menawarkan perkhidmatan bufet untuk berbuka puasa.
Katanya, walaupun permohonan sijil halal di Malaysia tidak diwajibkan dan lebih kepada sukarela tetapi mereka digalakkan untuk mendapatkan sijil tersebut.
“Alhamdulillah, hotel-hotel di sekitar Kuching kebanyakannya sudah mempunyai sijil halal dan saya sangat bersyukur atas kerjasama mereka dalam isu ini.
“Justeru, saya memohon supaya mana-mana hotel yang belum mendapatkan lagi sijil halal untuk membuat permohonan supaya mudah bagi kita membantu dalam promosi hotel ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Konti Internet Radio Islamic Sarawak (IRIS) di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Untuk rekod, antara hotel di sekitar Kuching yang telah mempunyai sijil halal adalah Hotel Sheraton; Hotel Riverside Majestic; Hotel Pullman; Hotel Penview; dan banyak lagi.




