KUCHING: Sarawak akan bekerjasama dengan penyedia teknologi global, Sulzer bagi melaksanakan program loji perintis Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) melalui cabang tenaga baharunya, SEDC Energy (SEDCE), anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Dalam satu kenyataan bersama, SEDCE menyatakan bahawa organisasinya diberi mandat untuk meneroka pembinaan loji perintis modular bahan api boleh diperbaharui bersaiz 15KTA.
“Ia menggunakan teknologi Bioflux milik Sulzer, sebagai projek awal yang berpotensi untuk dikembangkan bagi memenuhi permintaan pengeluaran SAF yang semakin meningkat di rantau ini,” katanya.
Manakala, Sulzer menjelaskan bahawa kerjasama itu turut merangkumi usaha memastikan dua komponen penting projek, iaitu ketersediaan bahan suapan yang sesuai dan perjanjian pembelian SAF yang terjamin berada dalam keadaan mantap sebelum loji 15KTA itu dimulakan.
“Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Sarawak untuk menyumbang secara signifikan dalam usaha global mengurangkan pelepasan karbon sektor penerbangan, sambil membangunkan keupayaan domestik dalam pembuatan bahan api bersih,” katanya.
Menerusi kerjasama ini, SEDCE juga telah menjalinkan hubungan dengan Apeiron Bioenergy, pembekal global utama bahan buangan biofuel, yang akan memanfaatkan keupayaannya sebagai pengumpul minyak masak terpakai (UCO) terbesar di Asia.
Kata Apeiron, MOU ini menandakan kerjasama strategik antara Sarawak dan Apeiron Bioenergy untuk meneroka serta membangunkan ekosistem pengumpulan UCO yang mampan di rantau ini.
“Usaha ini selaras dengan aspirasi Sarawak dalam membangunkan ekonomi pusingan dan tenaga boleh diperbaharui dengan menukar sisa kepada SAF,” jelasnya.
Apeiron Bioenergy akan bekerjasama dengan SEDC bagi mewujudkan sistem logistik, penyimpanan dan pengesanan UCO, berasaskan 17 tahun pengalaman dalam pasaran biofuel bagi memastikan aspek kelestarian dan pematuhan di seluruh rangkaian pengumpulan.
Apeiron Bioenergy yang berpangkalan di Singapura merupakan pemain utama global dalam sektor biofuel berasaskan sisa dengan kehadiran di 10 negara dan rantaian nilai lengkap merangkumi pengumpulan, pemprosesan dan penapisan biofuel. Sejak 2016, Apeiron telah membekalkan lebih 1 juta tan metrik UCO bagi pengeluaran biofuel.
Satu lagi pihak yang menyokong inisiatif ini ialah Oiltek Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Oiltek International Limited, syarikat tersenarai di Papan Utama Bursa Saham Singapura.
Dengan kerjasama Sulzer sebagai penyedia teknologi SAF, Oiltek yakin loji perintis itu akan menjadi projek perintis SAF yang berjaya di Sarawak.

