ARTIKEL

Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ketika berucap sebelum merasmikan Persidangan AI dan Penjagaan Kesihatan Moden 2026.

Sarawak gubal undang-undang privasi data Kesihatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak sedang mengusahakan penggubalan undang-undang privasi data sendiri dengan memberi penekanan khusus kepada perlindungan data kesihatan.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, langkah itu bertujuan memastikan data kesihatan yang bersifat sensitif dilindungi melalui kerangka perundangan khusus, selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan digital di negeri ini.

“Sepanjang persidangan ini, kita akan membincangkan dasar-dasar kerajaan yang masih terus berkembang. Pada masa ini, saya sedang meminta pakar, termasuk pakar perundangan, untuk menyediakan draf undang-undang privasi bagi Sarawak.

“Secara khusus, saya mahu undang-undang privasi data kesihatan diasingkan daripada undang-undang privasi data umum kerana data kesihatan bersifat sangat peribadi. Itulah tugas yang sedang saya usahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan AI dan Penjagaan Kesihatan Moden 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurutnya, penggunaan AI yang semakin meluas dalam sektor kesihatan memerlukan dasar serta kerangka kawal selia yang jelas bagi memastikan teknologi tersebut dimanfaatkan secara beretika, selamat dan bertanggungjawab.

“Persidangan ini menyediakan platform untuk membincangkan bukan sahaja kemampuan teknologi, tetapi bagaimana ia perlu dilaksanakan secara beretika, selamat dan penuh ihsan.

“Ini penting bagi memastikan inovasi dalam penjagaan kesihatan sentiasa berpaksikan kepentingan pesakit dan masyarakat,” katanya.

Dr Sim berkata, usaha memperkukuh perlindungan data kesihatan turut melengkapi agenda Sarawak memperluaskan penggunaan teknologi digital dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Strategi ini selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak yang bertujuan mentransformasikan negeri ini menjadi ekonomi berasaskan data dan inovasi menjelang penghujung dekad ini.

“Kemajuan teknologi bukan semata-mata untuk meningkatkan keluaran ekonomi, tetapi memastikan pembangunan yang inklusif, pengagihan sumber yang saksama serta tiada rakyat Sarawak yang tercicir tanpa mengira di mana mereka berada,” katanya.

Beliau berkata, AI mampu membantu mengesan penyakit lebih awal menerusi analisis imej automatik, analitik ramalan dan sistem sokongan keputusan klinikal yang membolehkan doktor membuat keputusan dengan lebih tepat.

“AI menyediakan alat yang mampu membantu kita menangani cabaran geografi dan struktur penyampaian perkhidmatan kesihatan.

“Melalui Internet of Medical Things (IoMT) dan telekesihatan pintar, pesakit di kawasan pedalaman dapat dipantau dari jauh tanpa perlu menempuh perjalanan yang panjang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Tambah beliau, walaupun AI mempunyai potensi besar dalam mentransformasikan sektor kesihatan, teknologi itu tidak seharusnya menggantikan nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada profesion perubatan.

“Teknologi tidak sepatutnya menggantikan belas ihsan manusia.

“AI mesti menjadi alat yang memperkasa petugas kesihatan dengan mengurangkan beban tugas rutin dan pentadbiran supaya doktor serta jururawat mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan perkara yang paling penting, iaitu menjaga manusia,” katanya.

BERITA LAIN

Hanya GPS mampu jaga Sarawak

SIMANGGANG: Rakyat Sarawak perlu menjaga kepentingan dan menentukan masa depan negeri sendiri menjelang ‘lumba perahu’ (Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 Sarawak) tidak lama lagi. Itu

BERITA TERBARU

Hanya GPS mampu jaga Sarawak

SIMANGGANG: Rakyat Sarawak perlu menjaga kepentingan dan menentukan masa depan negeri sendiri menjelang ‘lumba perahu’ (Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 Sarawak) tidak lama lagi. Itu