MUKAH: Pasukan Sarawak muncul juara keseluruhan dalam Pertandingan 4th Legend of Dong Wu Wushu @ Cyberneon 2025 di KSL Esplanade Mall, baru-baru ini.
Peserta yang terdiri daripada ahli Kelab Wushu Mukah itu berjaya memperoleh 32 emas, 19 perak dan 15 gangsa.
Menurut Pengerusinya, Ho Ing Siong, mereka sangat berbangga dengan kejayaan ini.
“Sebelum mengikuti pertandingan ini, kami mempunyai jadual berlatih dan semua peserta mengekalkan disiplin masing-masing semasa latihan.

“Diharapkan dengan kejayaan ini, ahli Kelab Wushu Mukah sentiasa mengekalkan semangat mereka,” katanya kepada Suara Sarawak.
Sehubungan itu, Ho turut memberitahu bahawa pasukannya terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah.
Antaranya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers dan SMK St Patrick.
Manakala, sekolah rendah terdiri daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Boon, SJKC Ek Hua, SJKC Chin Hua, Sekolah Kebangsaan (SK) St Bernard dan SK Sungai Kut Tengah.




