KUCHING: Sarawak amat mengalu-alukan sekiranya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berminat untuk meneruskan Kembara Kenali Borneo.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sudah tentu rakyat negeri ini akan menerima kedatangan Seri Paduka Baginda dengan tangan terbuka seadainya mahu mengembara ke Sarawak.
“Untuk meneruskan Kembara Kenali Borneo, ia terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong baharu. Namun kita memang mengalu-alukan Seri Paduka Baginda sebagai seorang Yang di-Pertuan Agong untuk mengembara di Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Sementara ketika ditanya pandangan mengenai pelantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa 31 Januari 2024, katanya Sarawak menjunjung pelantikan tersebut.
“Kita orang Sarawak taat dan mendukung kepada Sistem Raja Berpelembagaan. Jadi, kita menjunjung pelantikan Sultan Johor sebagai Yang di-Pertuan Agong, seperti yang terdahulu,” tegasnya.
Terdahulu semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari 2024.
Pelantikan itu bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahannya pada 30 Januari 2024, setelah memegang tampuk kepimpinan negara sejak 31 Januari 2019.
Pada September lalu, Al-Sultan Abdullah telah mencipta sejarah sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama mendekati rakyat Sabah dan Sarawak menerusi program Kembara Kenali Borneo yang menyaksikan baginda memandu sendiri sepanjang 2,154 km selama 11 hari.
Program tersebut mendapat sambutan yang amat meriah dan menggalakkan daripada rakyat kedua-dua wilayah tersebut sekali gus menunjukkan Raja Berperlembagaan memiliki peranan unik sebagai payung perpaduan, kemakmuran serta kestabilan negara ini.

