SIMUNJAN: Sebanyak 100 pokok engkabang jantong ditanam di Hutan Simpan Sabal di sini, hari ini, sebagai simbol komitmen bersama terhadap usaha pemuliharaan dan pemulihan hutan antara Sarawak dan Kalimantan Barat, Indonesia.
Aktiviti itu disertai delegasi 50 anggota Fakulti Perhutanan, Universitas Tanjungpura, Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia, yang mengadakan kunjungan ke Hutan Simpan Sabal.

Delegasi terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan pelajar pascasiswazah serta disertai pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak.
Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dalam kenyataan hari ini berkata, kunjungan berkenaan menjadi platform pertukaran pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perhutanan, khususnya berkaitan pemulihan hutan, pemuliharaan spesies pokok tempatan dan penggunaan sumber hutan secara lestari.
Menurut kenyataan itu, delegasi turut diberi taklimat mengenai Hutan Simpan Sabal serta aktiviti pemulihan hutan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Delegasi kemudian dibawa melawat tapak semaian dan lokasi pemulihan hutan dalam Hutan Simpan Sabal bagi melihat sendiri pelaksanaan usaha berkenaan.
Selain itu, penyelidik Universitas Tanjungpura turut mengadakan demonstrasi menghasilkan sabun menggunakan minyak daripada buah engkabang jantong (Shorea macrophylla).
Demonstrasi itu turut disertai komuniti Sabal, sekali gus membuka ruang perkongsian ilmu mengenai potensi penggunaan sumber hutan tempatan secara lestari.
JHS berkata, kunjungan itu turut mengukuhkan jaringan dan pertukaran pengetahuan antara institusi di Sarawak dan Kalimantan Barat, selain membuka peluang kepada kerjasama akademik serta penyelidikan pada masa akan datang.
Turut hadir Ketua Bahagian Pemulihan dan Hutan Ladang, Jabatan Hutan Sarawak, Zarina Shebli, serta pegawai dan kakitangan JHS.


