Sarawak keempat tertinggi kes rogol

KUCHING: Sarawak berada di kedudukan keempat tertinggi kes rogol di Malaysia pada 2020 selepas mencatatkan 140 kes secara keseluruhan.

Pesuruhajaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, kedudukan tersebut direkodkan dengan menyaksikan Selangor pada kedudukan pertama, diikuti Johor dan Sabah di tempat ketiga.

Dalam perkembangan sama katanya, untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini Sarawak mencatatkan kadar kes sebanyak 15 kes.

“Tahun ini melibatkan satu kes rogol di bawah 12 tahun dan 14 kes melibatkan umur mangsa berusia 15 hingga 16 tahun. “Bagaimanapun jumlah keseluruhan kes rogol dalam tempoh dua bulan untuk tahun ini tampak berkurangan berbanding tahun lepas yang mencatatkan sebanyak 19 kes,” katanya pertemuan eksklusif di pejabat Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Dedah beliau, hasil siasatan lanjut mengenai kes rogol di Sarawak, kebanyakan perogol merupakan individu yang dikenali atau kawan dan kenalan rapat mangsa.

Tambahnya, kes rogol bawah umur dikesan hasil laporan yang dibuat doktor. Dedah Aidi, punca utama faktor berlakunya kes ini disebabkan pengaruh media sosial, kurang pemantauan daripada ibu bapa, faktor kemiskinan dan kurang kesedaran seksual serta perkahwinan adat.

Justeru tegasnya, perkara ini menyebabkan dua pihak khususnya ibu bapa perlu lebih giat melakukan pemantauan terhadap aktiviti anak khususnya anak perempuan memandangkan kebanyakannya tidak bersekolah.

Selain itu dedahnya, kes tersebut juga mungkin boleh berlaku dan bermula dari rumah melibatkan situasi anak membawa kawan balik rumah semasa ketiadaan orang tua.

Dalam perkembangan sama katanya, kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan berumur 19 tahun di dalam lokap di Miri masih lagi dalam proses siasatan.

Ujarnya, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokap terbabit sebenarnya sedang dalam proses pembaikan pada tahun lalu namun tergendala berikutan wabak Covid-19.

Suara Sarawak