LIMBANG: Kerajaan Sarawak kekal berdaya tahan dan mampu merangka Belanjawan 2026 berjumlah hampir RM13 bilion meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global dan cabaran perdagangan antarabangsa.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peruntukan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak untuk terus memperkukuh pembangunan fizikal, mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan, memantapkan sistem pendidikan serta meningkatkan kemahiran generasi muda demi kesejahteraan rakyat.
“Peningkatan peruntukan tersebut jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan Sarawak dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, selain memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Pelbagai kemudahan terus dipertingkatkan, khususnya dalam aspek infrastruktur dan pendidikan, selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Majlis Pra-Krismas Batu Danau, Limbang 2025, semalam.
Beliau turut menasihati rakyat agar sentiasa berhati-hati dengan propaganda dan maklumat tidak benar di media sosial yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
Tegasnya, Sarawak terus mengekalkan keharmonian kepelbagaian kaum sebagai asas utama kestabilan dan kemajuan negeri.
“Di Sarawak, kita mempunyai kepercayaan agama yang berbeza, kita mempunyai budaya dan latar belakang yang berbeza, namun kita dapat hidup dalam satu semangat kesepaduan,” katanya.




